Edited by Vellfire at 12-4-2025 12:05 PM

Dr Sim ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektral di HUS, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Isu kenaikan kos peralatan dan perkhidmatan perubatan, khususnya yang melibatkan barangan import dari Amerika Syarikat (US) dan negara luar, perlu diberi perhatian serius.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, walaupun perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat persekutuan, beliau berpendapat isu itu wajar dibincangkan secara mendalam.
Kata Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, ia memberi kesan langsung terhadap kos rawatan serta polisi insurans kesihatan rakyat.
“Ini memang di bawah kuasa Menteri Kesihatan di Kuala Lumpur dan saya tidak mahu mendahului beliau.
“Namun sebagai pihak di Sarawak yang terlibat secara langsung, saya rasa penting isu ini turut diketengahkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama beliau pada minggu depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektral yang dihadiri Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngian Hie Ung di Ruang Foyer Pusat Rawatan Harian Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Dr Sim menjelaskan, sebahagian besar peralatan dan peranti perubatan di negara ini, termasuk yang akan digunakan di Hospital Kanser Sarawak kelak, diimport dari negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China.
“Kita mungkin bina hospital dengan bahan tempatan seperti simen, tetapi peralatan masih banyak bergantung pada luar negara. Ini kerana kualitinya lebih baik, walaupun tidak murah,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan peningkatan kos boleh memberi tekanan bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga kepada syarikat insurans dan akhirnya kepada rakyat.
“Semua orang tahu tentang perkara ini dan tiada siapa yang gembira dengannya. Tapi realitinya, syarikat insurans pun perlu beroperasi seperti perniagaan. Kalau kos meningkat, ia akan menjejaskan pelbagai pihak,” katanya lagi.
Tambah beliau, sektor kesihatan merupakan antara komponen perbelanjaan terbesar bagi kebanyakan kerajaan di negara-negara maju.
“Di Malaysia, kita kini kekurangan ruang, bukan kerana rakyat semakin sihat, tetapi kerana permintaan terhadap rawatan kesihatan semakin meningkat. Maka kita perlu bersedia dari sekarang,” tegasnya.
Pada Khamis dilaporkan KKM sedang membuat persediaan rapi berhubung kemungkinan AS mengenakan tarif 24 peratus termasuk ke atas produk farmaseutikal.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun sebelum ini terdapat pengecualian diumumkan Presiden AS Donald Trump ke atas produk farmaseutikal dan peralatan peranti perubatan, namun terdapat ketidaktentuan melalui petunjuk baharu yang mana kemungkinan penetapan itu berubah.
"Selaku menteri, memang saya sendiri sudah memerhatikan pengumuman yang dibuat bermula dengan sebutan mengenai pengecualian kepada kedua-duanya iaitu peranti perubatan dan produk farmaseutikal.
"Tetapi saya dengar mutakhir ini ada perubahan sikap pula dalam penyenaraian itu. Saya sudah menanti dengan cemas (sama ada) adakah akan terkait juga hal bersabit dengan perubatan," kata Dzulkefly kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra YB Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah, Perak.
|