

Keadaan rumah pekerja di syarikat perladangan kelapa sawit di Sungai Asap Belaga yang musnah dalam kejadian kebakaran pada Khamis.-Gambar JBPM Sarawak
BINTULU: Satu blok rumah pekerja 14 pintu berstruktur tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit di Sungai Asap Belaga pada petang Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 4.06 petang Khamis mengerahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke lokasi kejadian.
Dengan jarak 112 kilometer (km) melalui jalan balak katanya, pasukan bomba yang diketuai Komander Operasinya Vildeo Dumat tiba di lokasi pada jam 6.40 petang.
Keadaan rumah pekerja yang terbakar.-Gambar JBPM Sarawak
"Operasi terkawal pada jam 7.10 malam dengan seramai 45 penghuni rumah terbabit melibatkan lelaki, perempuan dan kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus rumah pekerja tersebut dengan melibatkan blok B sahaja manakala blok A tidak terjejas dan terselamat dalam kejadian itu.
"Kesemua penghuni terdiri daripada warganegara serta bukan warganegara berjaya menyelamatkan diri dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.
Menurutnya, tiada tindakan pemadaman dilakukan kerana api telah padam sepenuhnya setibanya PKO di lokasi kejadian.
Katanya, setelah keadaan selamat dan tiada lagi punca nyalaan api, operasi ditamatkan pada jam 7.25 petang dengan PKO bertolak balik semula ke balai.

Pegawai dan anggota bomba mendapatkan maklumat daripada penghuni rumah pekerja berkenaan kejadian.-Gambar JBPM Sarawak
https://www.utusanborneo.com.my/2025/04/11/rumah-pekerja-di-sungai-asap-belaga-terbakar-45-penghuni-selamat
|