
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukumam denda RM2,300 atau penjara lima bulan ke atas seorang penganggur kerana memiliki ganja seberat 0.76 gram.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Amirrul Amir Abdul Taib, 26, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1952 dan dihukum di bawah akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muhammad Amirrul melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Petra Jaya pada 4 Januari 2025 kira-kira jam 2.50 petang.
Menurut fakta kes, sepasukan polis menahan tertuduh di tepi jalan di Petra Jaya dan bertanya sama ada dia memiliki sebarang barang terlarang.
Tertuduh kemudian dengan sukarela mengambil satu barang dari begnya dan menyerahkan satu peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja kepada polis. Dia kemudiannya ditangkap dan barang itu dirampas sebagai bukti.
Laporan ahli kimia bertarikh 24 Februari 2025 mengesahkan daun kering itu adalah ganja.
Ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan kes dilakukan oleh ASP Arman Ibrahim bertindak sebagai manakala Muhammad Amirrul tidak diwakili peguam.
|