
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dikhuatiri patah kedua-dua kakinya selepas dikatakan terjun dari bilik sewanya di tingkat tiga sebuah bangunan kedai di Desa Ilmu di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata, suspek, 32, bertindak sedemikian kerana dikatakan cuba melarikan diri daripada diperiksa polis iaitu sekitar jam 10.30 pagi.
Katanya, polis melakukan serbuan ke atas bilik sewa suspek selepas mendapat laporan terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Setelah mengetuk beberapa kali, pasukan serbuan telah mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian luar bangunan tersebut dan ada orang awam menjerit mengatakan ada orang terjun.
“Pasukan serbuan terus ke lokasi dan mendapati suspek duduk di tepi longkang dengan kecederaan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut dan luka tapak tangan dipercayai akibat terjun dari bilik sewa dalam cubaan melarikan diri daripada ditangkap,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Sentosa dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
“Hasil soal siasat awal juga mendapati suspek mengaku terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah sejak awal 2023.
“Suspek dikatakan mendapatkan bekalan dadah dari seorang lelaki tidak dikenalinya melalui panggilan telefon sekitar Kampung Tanjung Bundong,” katanya.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Kota Samarahan sedang giat mengesan pembekal yang belum dikenal pasti,” katanya.
|