Edited by Vellfire at 7-4-2025 04:59 PM

Abang Johari disambut dengan persembahan pencak silat sejurus tiba di pekarangan Kompleks Peryatim Bintulu hari ini. - Gambar UKAS
BINTULU: Kompleks Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim (Peryatim) Bintulu kini dinamakan sebagai Kompleks Peryatim Daud Abdul Rahman, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kompleks itu dinamakan sedemikian sebagai menghargai jasa serta sumbangan Allahyarham Daud dalam memajukan tempat perlindungan buat anak-anak yatim yang terdapat di Bintulu.
"Allayarham merupakan seorang yang banyak membantu dalam membela nasib anak yatim piatu di negeri ini yang mana kompleks ini dinamakan bagi mengingati jasa beliau yang banyak berjuang membela nasib golongan berkenaan," ujarnya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penamaan Kompleks Peryatim Bintulu dan Majlis Kesyukuran Aidilfitri anjuran Peryatim Sarawak di Kompleks Kebajikan Peryatim Bintulu di Jepak hari ini.
Sejak ditubuhkan pada 1991, peranan Peryatim semakin berkembang dengan menjadi pusat khas bagi menjaga serta mendidik anak-anak yatim yang terdapat di Bintulu sehingga mereka menjadi insan berguna dan berjaya dalam kehidupan.
"Saya turut dimaklumkan bahawa ramai modal insan yang ditempatkan di kompleks ini sudah menjadi graduan termasuk berjaya dalam karier dan kehidupan masing-masing," jelasnya.
Justeru, melalui penamaan kompleks itu sekali gus membolehkan ia dimajukan lagi selaras dengan kemajuan yang dikecapi pada masa sekarang melalui pemerkasaan kompleks ke arah menjadi tempat terbaik bagi menjaga kebajikan serta keperluan golongan sasar.
Abang Johari pada masa sama turut mengumumkan bahawa kompleks Peryatim bakal dibina di Miri di atas sebuah tapak berhampiran Lapangan Terbang Miri.
"Pembinaan kompleks itu nanti dijangka akan menelan perbelanjaan RM30 juta yang mana ia akan membantu meningkatkan lagi tahap kebajikan anak-anak yatim yang terdapat di negeri ini," jelasnya.
|