
Tun Wan Junaidi menyampaikan sijil penghargaan daripada pihak penganjur kepada pemenang pingat emas acara silat SUKMA yang lalu serta beberapa kejohanan silat antarabangsa, Ummi Mashitah Hassan, sambil disaksikan Toh Puan Fauziah serta Abang Johari (empat kiri) dan tetamu kehormat lain.
MIRI: Beberapa jurusan lebih moden dalam sarjana sains, perakaunan dan kewangan akan diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak, seiring dengan keperluannya untuk tenaga mahir dalam bidang berkaitan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan mengumumkan jurusan-jurusan baharu itu, termasuk dalam perakaunan moden dan kewangan berkaitan keperluan ekonomi semasa, pada Oktober depan.
"Bulan 10 (Oktober) nanti kita akan umumkan jurusan-jurusan yang agak moden, disiplin yang baharu, malah pembinaan pun, sekarang ini ada Sarjana Muda Sains (Pengurusan Pembinaan).
"Inilah yang kita nak laksanakan dan kita keluarkan kemahiran anak-anak kita dalam ekonomi yang baharu," katanya semasa berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Pemimpin anjuran gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam Miri di Stadium Tertutup Bandaraya Miri, hari ini.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, dalam tempoh setahun setengah lagi pembangunan tenaga sehingga 500MW yang dikeluarkan di Miri akan menjadikan bandar raya ini tempat pertama di dunia yang mengeluarkan tenaga hibrid dan memerlukan tenaga mahir dan pakar yang relevan.
Beliau berkata, dengan Miri yang mempunyai Universiti Curtin Kampus Malaysia, anak-anak Sarawak yang bijak pandai dan berkelayakan, berpeluang untuk menuntut peringkat ijazah di universiti itu tanpa mengira latar belakang dan status mereka.
"Yurannya GPS tanggung. Asal anak kita pandai sahaja. Ini adalah dasar kita, iaitu untuk melahirkan bijak pandai yang berkemahiran tinggi dalam ekonomi baharu yang sedang kita laksanakan pada hari ini.
"Saya yakin dengan adanya pendidikan ini, kita juga dapat menghapuskan atau mengurangkan kadar kemiskinan kerana anak petani, anak nelayan, kalau mereka bijak mereka boleh menuntut di universiti," tambahnya sambil memberitahu inisiatif pendidikan percuma itu akan bermula tahun depan.
Sementara itu, lebih 3,000 orang menghadiri majlis tersebut yang dijayakan buat pertama kalinya menerusi kerjasama 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam di sini.
Sebanyak 24 reruai menghidangkan pelbagai juadah raya turut didirikan oleh NGO terbabit bagi menjamu para tetamu pada majlis itu.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Residen Miri Galong Luang dan Pengerusi Persatuan Melayu Miri (PMM) merangkap pengerusi penganjur Razali Alision.
|