
SIBU: Kelulusan cadangan pembinaan jambatan baharu menghubungkan kawasan barat Sibu dengan pusat bandar oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah bukti komitmen beliau untuk mentransformasikan Sibu menjadi sebuah bandar moden.
Oleh yang demikian, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat Kaunselor Kevin Lau (gambar) menyeru semua pihak agar terus bersatu demi Sarawak yang lebih kuat.
Beliau berkata demikian hari ini ketika diminta untuk memberikan respons terhadap pengumuman Abang Johari mengenai cadangan jambatan ikonik Sibu yang akan menghubungkan Kampung Datu lama ke kawasan barat Sibu pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu Bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada malam Jumaat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Premier kerana menyokong cadangan jambatan yang menghubungkan kawasan barat Sibu dengan bandar Sibu yang saya usulkan kepadanya semasa sambutan Tahun Baharu Cina SUPP pada 17 Februari lalu.
"Maklum balas positif daripada YAB Premier benar-benar mencerminkan komitmennya untuk mentransformasikan Sibu menjadi sebuah bandar moden dan kita mesti terus bersatu untuk Sarawak yang lebih kuat.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee kerana mencadangkan konsep London Bridge pada majlis malam tadi yang bukan sahaja akan menjadi ikonik, tetapi juga mengambil kira aspek ketinggian laluan kapal dan juga panjang 'landing' untuk jambatan yang dicadangkan," katanya.
Menurut Lau, ramai penduduk kawasan Bawang Assan amat menantikan jambatan itu kerana seperti yang disebutkan oleh Premier pada majlis itu, projek terbabit boleh merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan ekonomi.
"Saya sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pasukan petugas bagi merealisasikan perkara ini dan saya benar-benar percaya ini akan menjadi satu transformasi untuk Sibu demi masa depan generasi muda kita," tambahnya.
Dalam ucapan beliau malam tadi, Abang Johari berkata, 'Jambatan London' apabila siap kelak, akan merangsang aktiviti ekonomi sekali gus membolehkan kawasan barat Sibu dibangunkan termasuk dalam sektor pertanian.
|