View: 61|Reply: 0
|
[Sarawak]
Koridor khas kawal risiko kebakaran gas
[Copy link]
|
|
Kerajaan Sarawak akan perkenal 'dedicated corridor' sebagai langkah kawalan risiko kemungkinan insiden kebakaran saluran paip gas

Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Fazzrudin. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan 'dedicated corridor' atau koridor khas sebagai langkah kawalan risiko terhadap kemungkinan insiden kebakaran saluran paip gas di kawasan tertentu termasuk kawasan perindustrian.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini menerusi perancangan di bawah Sarawak Gas Roadmap sememangnya perlu mempunyai koridor khas yang diwartakan bagi memastikan aspek keselamatan.
“Ini termasuk kawasan seperti Samalaju yang akan dijadikan kawasan keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran saluran paip gas.
“Dedicated Corridor ini penting bagi mengesan dan mengawal jenis gas yang berpotensi membahayakan, terutama gas bertekanan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman di Dewan Hikmah di sini, hari ini.

Abang Johari bersalaman dengan pengunjung yang hadir ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Fazzrudin hari ini. - Gambar Penerangan
Tambah Abang Johari, terdapat dua jenis gas iaitu gas bertekanan rendah, yang digunakan dalam saluran paip ke rumah dan tidak berbahaya.
Namun ujarnya, bagi gas bertekanan tinggi inilah yang berbahaya kerana tekanannya kuat dan boleh menyebabkan insiden tidak diingini.
Beliau berkata dengan itu kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan rakyat di negeri ini dalam kemungkinan insiden sedemikian termasuk memperkenalkan koridor khas terbabit.
“Pelaksanaan 'dedicated corridor' ini melibatkan proses penggazetan kawasan tertentu sebagai zon keselamatan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap, yang menekankan keperluan untuk mewujudkan kawasan penampan atau buffer zone bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tegasnya.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata menerusi insiatif terbabit, data berkaitan penyimpanan gas akan diselia dengan lebih ketat, sementara kawasan industri seperti Samalaju akan dikelaskan sebagai kawasan keselamatan.
Katanya di kawasan itu (koridor khas), pembinaan perumahan dan kemudahan awam tidak akan dibenarkan.
Hadir sama pada majlis berkenaan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
https://www.utusanborneo.com.my/2025/04/03/koridor-khas-kawal-risiko-kebakaran-gas
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|