
(Barisan hadapan, dari tujuh kanan) Sharifah Hasidah dan suami Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman merakam kenangan bersama Abang Johari serta isteri Juma’ani juga tetamu yang lain. - Gambar UKAS
KUCHING: Rundingan berterusan berhubung hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan retorik tetapi menuntut perjuangan yang memerlukan ketabahan dan keazaman tinggi.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerajaan negeri akan terus memperhalusi pelbagai aspek bagi memperkukuhkan lagi hak-hak Sarawak.
Tegasnya lagi, perjuangan itu tidak mudah dan menuntut komitmen sepenuhnya daripada semua pihak.
Menurutnya banyak kejayaan telah dicapai hasil rundingan antara kerajaan negeri dan persekutuan mengenai hak Sarawak di bawah MA63 dalam tempoh empat bulan yang lalu.
Bagaimanapun katanya terdapat beberapa isu yang masih perlu diperinci dan dibincang lebih mendalam.
“Ini (ibarat) perjalanan yang panjang, rundingan ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan pelbagai aspek penting untuk Sarawak.
“Kita akan terus berbincang dengan kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Majlis Rumah Terbuka Hari Raya 2025 di Wisma Sabati, di sini, pada Selasa.
Dalam suasana perayaan, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sharifah Hasidah turut menjadi tumpuan apabila dihadiri ramai tetamu daripada pelbagai latar belakang.
Sehubungan itu beliau berpendapatan majlis sebegini bukan sekadar perayaan tetapi simbol perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Alhamdulillah, sambutan sangat meriah. Kehadiran orang ramai membuktikan kita semua menghargai hubungan erat antara satu sama lain.
“Kita melihat rumah terbuka anjuran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di BCCK juga penuh dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum dan agama. Ini menunjukkan semangat muhibah yang cukup luar biasa di Sarawak.
"Inilah keunikan kita di Sarawak. Aidilfitri bukan sekadar perayaan kaum tertentu, tetapi ia disambut bersama sebagai satu keluarga besar," tambahnya.
Majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilftri Sharifah Hasidah turut dimeriahkan dengan kehadirian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarwak Dato Sri Saferi Ali, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak DDatuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
|