
SIBU: Seorang lelaki warga China berusia 42 tahun direman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan jalan raya yang mengorbankan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah Marutin Pagan, 56.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili (gambar) ketika dihubungi hari ini, mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Ahad, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mangsa bersama keluarganya dirempuh oleh sebuah lagi MPV.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya.
Menurut Zulkipli dalam satu kenyataan, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan dari Kanowit menuju ke Sibu sebelum dirempuh oleh sebuah MPV lain di kawasan sebuah bulatan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang menghala ke Sibu dari pekan Kanowit telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain di Bulatan Kanowit/Durin. Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas dan terbalik.
“Salah seorang penumpang, berusia 56 tahun, tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Tambahnya, pemandu kenderaan kedua tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala empat penumpang lain dalam kenderaan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kanowit.
Zulkipli berkata, kenderaan yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala satu lagi kenderaan rosak di bahagian hadapan.
“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sibu dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada jam 1.59 tengah hari,” ujarnya.
Marutin, yang berasal dari Machan, Kanowit, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Sibu dan Bintulu serta Hakim Mahkamah Majistret di Kuching sebelum dilantik sebagai Pengarah Mahkamah Negeri Sabah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
|