
Julaihi (empat kanan) bersama yang lain selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Aman Sebangan pada Isnin. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak tiada perancangan untuk menaikkan kadar tarif elektrik sedia ada.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata kenaikan tarif elektrik yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Disember tahun lalu hanya untuk Semenanjung Malaysia.
Menurutnya lagi, tarif elektrik dan air bagi Sarawak adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Sarawak tidak terlibat dalam kenaikan tarif elektrik seperti yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Tapi mungkin kita boleh melihat bagaimana mereka (TNB) mengenakan tarif baharu dan mungkin kita boleh belajar apa yang mereka lakukan tetapi ia tidak ada kena mengenalah.
"Namun, seperti yang saya katakan tadi, tarif yang diumumkan oleh TNB adalah untuk Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Aman Sebangan pada Isnin.
TNB pada Disember lepas telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik asas sebanyak 14 peratusbagi tempoh 2025 hingga 2027.
TNB menyatakan kenaikan perlu untuk menampung kos operasi dan pembangunan infrastruktur.
|