
TINJAU: Chew semasa meninjau di lokasi berkenaan.
SANDAKAN: Terdapat dua kemudahan lurang kumbahan di Blok B Hsiang Garden Jalan Leila di sini telah mengalami kerosakan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, kemudahan itu tersumbat dan terdapat penutup parit di kawasan yang sama tidak stabil dan berbahaya kepada pejalan kaki.
"Selain itu, tong sampah di kawasan itu juga tidak dibersihkan hampir lima hari oleh pihak berwajib.
"Terdapat juga sofa yang dibuang ke dalam parit...ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Katanya, terdapat juga sisa kepingan jubin yang dibuang di tepi jalan raya berdekatan dengan rumah sampah berkenaan.
Menurutnya, kesemua masalah itu termasuk tanah-tanah yang mengotori jalan raya selepas hujan telah dimaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan.
"Saya menyeru pihak berkenaan agar sentiasa membuat tinjauan di kawasan ini agar tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu ini dapat di atasi.
"Sekali lagi aduan akan disampaikan kepada pihak berwajib," katanya.
|