
ROGER
KOTA KINABALU: Perjanjian 20 Perkara bukan sekadar slogan pilihan raya tetapi tanggungjawab masa depan Sabah.
Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp berkata, perjanjian itu tidak seharusnya dijadikan sekadar alat retorik bermusim. Ia perlu ditangani secara serius sebagai komitmen jangka panjang demi masa depan rakyat Sabah.
"Sejak 2018, beberapa langkah penting telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan semula hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perjanjian 20 Perkara.
"Antaranya termasuklah pindaan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang telah mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia, bukan sekadar dua buah negeri biasa," katanya dalam kenyataan.
Selain itu katanya, kuasa berkaitan bekalan elektrik dan gas telah dikembalikan kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, ini membuktikan bahawa perubahan ke arah pemulihan hak Sabah sedang berlaku secara progresif dan bukan semata-mata hasil usaha parti-parti tempatan, tetapi juga melibatkan pemimpin dan parti nasional yang benar-benar komited.
"Parti tempatan bukan satu-satunya wakil sah rakyat Sabah. Sesetengah pihak beranggapan bahawa hanya parti politik tempatan sahaja yang layak mempertahankan kepentingan negeri.
"Namun, fakta sejarah menunjukkan bahawa sejak Sabah menyertai Malaysia, kerajaan negeri telah beberapa kali dipimpin oleh parti-parti tempatan tetapi isu Perjanjian 20 Perkara jarang dijadikan agenda utama secara konsisten," katanya.
Katanya, ramai pemimpin politik hanya membangkitkan isu ini menjelang pilihan raya dan kemudiannya menyepi selepas menang.
Roger berkata sebaliknya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin dari parti nasional telah menunjukkan komitmen yang lebih berterusan dan strategik dalam memperjuangkan perkara ini di peringkat Persekutuan.
"Antara perkara paling penting dalam Perjanjian 20 Perkara ialah tuntutan agar Sabah dan Sarawak mempunyai wakil yang mencukupi di Parlimen untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap sebarang pindaan Perlembagaan.
"Malangnya, jumlah kerusi gabungan Sabah dan Sarawak di Parlimen kini hanya 56, jauh lebih rendah daripada satu pertiga (74 kerusi) yang diperlukan untuk menyekat sebarang pindaan penting.
"Ini bermakna suara Sabah masih terlalu lemah dalam proses pembentukan dasar dan undang-undang, terutama apabila bertembung dengan kehendak blok politik Semenanjung.
"Cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak telah pun dikemukakan, namun pelaksanaannya ditangguhkan ke Pilihan Raya Umum ke-16. Soalnya sekarang... adakah kerajaan selepas PRU16 benar-benar akan melaksanakannya?," katanya.
Menurutnya, peranan MCA dalam sejarah tidak wajar dipinggirkan. Dalam kempen pilihan raya, tidak kurang pemimpin yang menggunakan retorik populis dan menuding jari kepada MCA sebagai punca kelemahan dalam memperjuangkan hak Sabah.
Namun realiti katanya, MCA tidak pun terlibat dalam politik Sabah sehinggalah secara rasmi memasuki arena pada 1991.
"Lebih penting lagi, MCA pernah memainkan peranan besar dalam pembentukan Malaysia melalui tokoh-tokohnya seperti Tan Sri Wong Pow Nee, yang merupakan ahli Suruhanjaya Cobbold serta Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu.
"Beliau telah terlibat secara langsung dalam perundingan berkaitan kerakyatan dan penyatuan, sekali gus menunjukkan bahawa MCA bukanlah asing dalam perjuangan pembentukan negara," katanya.
Dalam pada itu katanya, rakyat Sabah harus lebih berhati-hati dan matang dalam menilai. Tidak semua parti yang melaungkan 'Hak Sabah' benar-benar komited.
"Sebaliknya, ada pemimpin dari parti nasional yang lebih faham, lebih berpengaruh di peringkat Persekutuan dan berpotensi tinggi untuk merealisasikan tuntutan Perjanjian 20 Perkara.
"Pilihan pengundi akan menentukan hala tuju negeri. Dalam pilihan raya akan datang, rakyat Sabah perlu menyokong pemimpin dan parti yang berprinsip, mempunyai rekod prestasi dan benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sekadar petah bermain slogan dan retorik," katanya.
Katanya lagi, masa depan Sabah tidak boleh dibina atas janji kosong dan retorik semata-mata. Ia memerlukan iltizam, kematangan politik serta pemahaman mendalam terhadap realiti semasa dan sejarah negara.
|