CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 258|Reply: 0

Leka dunia maya

[Copy link]
Post time 5-4-2025 02:32 PM | Show all posts |Read mode


Rancangan Adolescence yang disiarkan di Netflix baru-baru ini mencetuskan perbualan global mengenai kesan teknologi dan media sosial terhadap kesejahteraan kanak-kanak selain cabaran dihadapi ibu bapa dalam memantau kehidupan digital anak mereka.


Hari ini, adalah perkara biasa untuk melihat kanak-kanak dan remaja memiliki telefon pintar dan menghabiskan masa berjam-jam dalam talian, sama ada di media sosial, bermain permainan dalam talian atau berbual dengan rakan.


Malah, kajian turut mendapati bahawa golongan itu terbabit dengan teknologi digital jauh lebih banyak daripada generasi lain sebelumnya.


Tidak dinafikan, kemajuan teknologi menawarkan pelbagai peluang seperti akses kepada sumber pendidikan, hiburan dan komunikasi yang dipertingkatkan.




Namun, ia juga membawa banyak cabaran termasuk menyebabkan remaja hanyut dalam dunia digital, mengasingkan diri, kurang komunikasi bersemuka, lemah kemahiran sosial dan interpersonal serta konflik keluarga.


Lebih membimbangkan, mereka juga terdedah kepada risiko bahaya dalam talian seperti buli siber, kecurian identiti dan penipuan.


Semua risiko itu mencetuskan kebimbangan ibu bapa ketika mereka berjuang untuk mengimbangi antara kebebasan dan keselamatan dalam kehidupan digital anak mereka.


Menurut ahli psikologi klinikal berdaftar yang juga Pensyarah Kanan Program Sarjana Psikologi Klinikal, Pusat Pengajian Seni dan Sains Liberal, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Riadah, Universiti Taylor, Faeza Hasnan, salah satu cabaran terbesar yang dihadapi ibu bapa hari ini ialah jurang generasi dalam penggunaan teknologi digital.


Ini kerana ramai ibu bapa membesar dalam dunia di mana persahabatan dan interaksi sosial berlaku secara bersemuka, manakala anak-anak mereka membentuk identiti serta hubungan secara dalam talian.




"Perbezaan pengalaman ini sering menyebabkan salah faham kerana ibu bapa melihat masa skrin sebagai berlebihan dan anak-anak menganggapnya sebagai bahagian penting dalam kehidupan sosial mereka.


"Menurut teori perkembangan psikososial Erik Erikson, remaja berada dalam fasa penting pembentukan identiti dan dalam tempoh itu mereka mencari kebebasan, privasi serta ekspresi diri.


"Oleh itu, sekatan digital yang dikenakan tanpa komunikasi yang berkesan boleh membawa kepada penentangan, sikap berahsia dan hubungan keluarga yang tegang," katanya.


Mengulas lanjut Faeza berkata, daripada mengambil pendekatan autoritarian, ibu bapa sebaliknya boleh memupuk keseimbangan digital yang sihat melalui komunikasi terbuka dan kerjasama dengan anak masing-masing.


Katanya, ada beberapa strategi yang boleh digunakan antara menukar pendekatan kawalan kepada kerjasama.


"Daripada mengawal atau melarang aktiviti digital secara ketat, ibu bapa boleh berbincang secara terbuka mengenai kebimbangan mereka.


"Pendekatan ini menggalakkan persefahaman dan menjadikan anak-anak lebih menerima bimbingan," katanya.




Selain itu, Faeza berkata, ibu bapa juga boleh mewujudkan Perjanjian Digital Keluarga di mana mereka dan anak-anak bekerjasama untuk menetapkan garis panduan yang mengimbangi kebebasan dalam talian dengan isu keselamatan.


Kata Faeza, apabila anak-anak terbabit dalam menetapkan peraturan, mereka lebih cenderung untuk menghormatinya.


Dalam hal itu kata beliau, ibu bapa juga perlu menjadi contoh penggunaan digital yang sihat.


"Anak-anak belajar melalui pemerhatian, jika ibu bapa menunjukkan penggunaan skrin yang bertanggungjawab seperti mengehadkan masa peranti dan mengutamakan interaksi bersemuka, anak-anak juga akan mengamalkan tingkah laku ini.


"Lebih penting, ibu bapa perlu meneroka teknologi secara bersama kerana daripada melihat ia sebagai ancaman selain membabitkan diri dengan anak-anak bagi mempelajari aplikasi baharu, berkongsi pengalaman digital dan membincangkan trend dalam talian.


"Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan kesefahaman selain mengukuhkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak," katanya.


Sementara itu, Faeza menyarankan ibu bapa supaya membina kepercayaan melalui komunikasi.


Katanya, asas utama keibubapaan digital yang berjaya ialah kepercayaan.


Ini kerana apabila anak-anak merasakan mereka boleh bercakap secara terbuka mengenai pengalaman dalam talian tanpa takut dihukum, mereka lebih cenderung untuk mendapatkan bimbingan ibu bapa apabila menghadapi risiko dalam talian.


"Dengan beralih daripada kawalan kepada kerjasama, ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka mengharungi dunia digital dengan selamat dan bertanggungjawab.


"Lebih penting lagi, pendekatan ini mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memastikan anak-anak berasa disokong dalam kehidupan mereka, sama ada dalam talian atau luar talian," katanya. - Harian Metro


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2025 02:15 PM GMT+8 , Processed in 0.044551 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list