
MESYUARAT: Joachim (tengah) bergambar kenangan dengan semua yang hadir selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah 2025.
KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh acara rasmi bakal diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 30 Mac 2025.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah 2025 Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, ia adalah sambutan yang pertama selepas pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri ke-11 pada 1 Januari 2025.
Katanya, selaras dengan Warta Kerajaan Negeri Sabah, tarikh ulang tahun kelahiran rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) adalah pada 30 Mac 2025.
Bagaimanapun jelasnya, acara untuk sambutan berkenaan akan diadakan berterusan sehingga 21 Jun 2025.
"Dalam tempoh berkenaan, terdapat tujuh acara rasmi yang berlangsung di Sabah termasuk Majlis Bacaan Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat, dan juga Istiadat Perbarisan.
"Turut diadakan, Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad Istiadat Perbarisan, Majlis Jamuan Negeri, Hari Etnik Sabah, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat Kebesaran Sabah, serta Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak-Anak Yatim," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang pertama selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah berkenaan acara-acara yang dicadangkan dan cadangan perbelanjaan di sini hari ini.
Joachim berkata, kesinambungan penyelarasan acara seperti tahun-tahun sebelumnya akan diteruskan dan terdapat beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan.
Menurutnya, ia termasuk Jawatankuasa Induk Sambutan, Jawatankuasa Teknikal, dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan mengikut jenis program dan acara yang akan dilaksanakan.
Selain itu katanya, penganjuran program dan acara sepanjang sambutan berkenaan turut dibantu oleh pelbagai kementerian dan agensi negeri dan Persekutuan.
|