
Fatimah (barisan belakang, tengah), Ariffin (kiri Fatimah) merakamkan kenangan bersama jawatankuasa penganjur, peserta Ramadan Camp dan guru.
MIRI: Adab dan etika ketika berada dalam masjid harus diajar dan dikongsikan kepada kanak-kanak, jelas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
"Etika, peranan masjid, cara, adab kita, kelakuan kita berada dalam masjid juga perlu kita kongsikan kepada anak-anak supaya anak-anak kita juga sama-sama dengan ibu bapa ataupun keluarga dapat menjalankan ibadah dengan lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramadan Camp di Masjid Darul Ehsan Piasau pagi Sabtu.
Program dianjurkan Masjid Darul Ehsan dengan kerjasama Tadika Astana, di bawah Biro Pendidikan, Dakwah dan Kebudayaan.
Fatimah menyarankan jawatankuasa penganjur program untuk memasukkan ilmu dan maklumat, tentang adab dan etika ketika masuk ke masjid dan semasa jemaah bersolat serta apa yang harus dielakkan kepada kanak-kanak.
"Kalau kanak-kanak tidak diterapkan, jadi mereka tidak tahu, bila mereka tidak tahu, mereka buat perkara yang silap, kalau ia tidak diperbetulkan maka ia nanti menjadi sesuatu nanti yang akan berterusan," jelasnya.
Fatimah memberitahu, melalui aktiviti tersebut, kanak-kanak diajar beberapa perkara tentang subjek yang hendak diperkenalkan oleh penganjur termasuk diberi peluang melakukan aktiviti.
Selain itu katanya, dengan mewujudkan suasana pelajaran yang menyeronokkan akan dapat menarik perhatian dan penglibatan mereka.
Dengan membawa bersama kanak-kanak ke masjid, Fatimah percaya mereka akan lebih tahu dan jelas tentang peranan masjid iaitu bukan sahaja tempat beribadah tetapi juga sebagai pusat ilmu.
Terdahulu, Pengerusi Masjid Darul Ehsan Ariffin Mohamad memberitahu, masjid yang ditubuhkan pada tahun 2023 itu sentiasa berusaha menjadi pusat ilmu dan tarbiyah bagi anak-anak dan remaja di Miri.
Program percuma itu bertujuan mendedahkan Islam sebagai satu cara hidup dan membentuk akhlak dan budi pekerti Islam dalam diri kanak-kanak dan remaja.
Ia juga untuk menyatukan tadika dan taski Islam dalam usaha mendidik serta berdakwah kepada masyarakat dan memberi ruang kepada ibu bapa untuk berkongsi ilmu dalam pelbagai aspek, termasuk kemahiran keibubapaan.
Sepanjang 2023 dan 2024, masjid itu telah menyaksikan pelbagai aktiviti bermanfaat yang melibatkan sumbangan dan penyertaan daripada Tadika Astana, Tadika Amin Al-Aulad, Tadika Pintar Soleh, TASKI ABIM Al-Hidayah, PASTI dan Taski Sri Kenyalang.
Pustaka Miri turut memainkan peranan penting dalam membantu menjayakan program-program ini dengan aktiviti menarik seperti bengkel Canva dan AI untuk guru, program Sirah Nabi, serta pelbagai lawatan sambil belajar.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Masjid Darul Ehsan Wahap Gani, Koordinator Program Kanak-Kanak Masjid Darul Ehsan Siti Hajijah Abdullah Sani dan Wakil Pustaka Negeri Sarawak Miri Ahmad Shamsudin.
|