Edited by Vellfire at 22-3-2025 12:57 PM

Keadaan banjir di Jalan Lanang yang menyebabkan air melimpah ke atas jalan, mengganggu lalu lintas dan pergerakan kenderaan. - Gambar JBPM
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melaksanakan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir di sekitar Sibu sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Andy Alie, berkata pemantauan tersebut dijalankan dari jam 8.30 pagi hingga 11.12 pagi dengan kekuatan tiga anggota.
"Pasukan turut menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis bagi tujuan rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rumah panjang di Jalan Stabau ditenggelami air dengan paras banjir mencecah empat kaki, memaksa penduduk untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pemindahan. - Gambar JBPM

Banjir turut menyebabkan gangguan lalu lintas di Jalan Merlin, dengan beberapa kenderaan terpaksa meredah air yang semakin meningkat. - Gambar JBPM
Antara kawasan yang dipantau termasuk Jalan Merlin dan Jalan Geronggang yang mencatat paras air setinggi satu kaki, Jalan Salim Stabau (dua kaki), Rumah Panjang Monica Giri di Sungai Spau, Jalan Stabau (empat kaki), Jalan Sungai Assan/Latap (tiga kaki), Kampung Bayok di Jalan Kerto (tiga kaki), Jalan Lanang (satu setengah kaki), Terminal Ekspres Sibu dan Tebingan Sibu (satu kaki).
“Keadaan semasa mendapati paras air telah melimpah ke atas jalan di beberapa lokasi. Beberapa kawasan juga dilaporkan terputus hubungan, namun setakat ini belum ada pemindahan dilakukan,” jelasnya.
Tambah beliau, paras air menunjukkan trend meningkat susulan fenomena air pasang, manakala keadaan cuaca semasa pemantauan adalah hujan renyai-renyai.
Katanya, JBPM akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Anggota bomba menjalankan pemantauan di Jalan Kampung Bayok, Jalan Kerto yang dinaiki air bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan kesediaan menghadapi keadaan banjir yang semakin buruk. - Gambar JBPM
|