CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 109|Reply: 0

[Sarawak] Banjir: 44 mangsa dipindah ke PPS Dewan Masyarakat Song

[Copy link]
Post time 21-3-2025 09:42 AM | Show all posts |Read mode


Pihak berkuasa membantu dalam proses pendaftaran mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Dewan Masyarakat Song. - Gambar Lidam Assan

SONG: Seramai 44 mangsa daripada 18 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Song selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan memaklumkan antara kawasan yang terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas, penempatan Kebiau, serta beberapa rumah panjang.

“Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Masyarakat Song telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang memerlukan perlindungan.

“Bantuan kepada mangsa banjir juga akan segera disalurkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Salah sebuah rumah panjang di Song yang dinaiki air banjir. - Gambar Lidam Assan

Beliau turut menjelaskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Song telah diaktifkan sejak awal kejadian dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Daerah.

“Saya juga memohon ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk membantu memantau keadaan di kawasan masing-masing bagi memastikan keselamatan penduduk,” tambahnya.

Sementara itu, laporan pemantauan oleh pasukan APM mendapati paras air di beberapa lokasi utama terus meningkat.

Sungai Batang di Terminal Bot Ekspres Song mencatatkan paras 10.3 meter, manakala Sungai Katibas berhampiran Rumah Mohd Edwin berada pada paras 0.22 meter.

Selain itu, KM3 Jalan Takan turut dinaiki air akibat sistem perparitan yang tersumbat, dengan bacaan paras air 0.41 meter.

Kampung Alai di Sungai Chapi dan Kampung Sejiran di Sungai Katibas juga menunjukkan peningkatan paras air masing-masing kepada 0.34 meter dan 0.48 meter.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan dilakukan. Pasukan pemantauan yang terdiri daripada anggota APM telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” jelas Lidam.

Menurutnya, keadaan masih terkawal, namun pemantauan berterusan sedang dijalankan. Pasukan pemantauan yang terdiri daripada anggota APM turut bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan bertambah buruk.



Anggota RELA dan PDRM membantu warga emas turun dari trak ketika tiba di PPS Dewan Masyarakat Song. - Gambar Lidam Assan
Setakat jam 4.30 petang, seramai 10 lelaki dan 34 perempuan telah ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Song, terdiri daripada tujuh warga emas, 20 dewasa, 14 kanak-kanak, dan tiga bayi.

Katanya, mangsa yang dipindahkan telah menerima bantuan seperti makanan, kit keperluan asas, susu bayi, lampin pakai buang, dan kelengkapan tidur.

Lidam turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada dan segera mendapatkan bantuan sekiranya keadaan bertambah buruk.

Penduduk yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Song di talian 017-9404948.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-6-2025 12:41 PM GMT+8 , Processed in 0.042084 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list