Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau bercakap dalam sidang media mengumumkan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas import AS di Parliamen Hill di Ottawa, Kanada. - Foto AFP.
WASHINGTON: Kanada akan mengenakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap tarif yang dikenakan negara kuasa besar itu.
Presiden AS, Donald Trump menandatangani arahan pelaksanaan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada, serta 10 peratus ke atas produk dari China.
Sumber tenaga dari Kanada akan dikenakan kadar tarif yang lebih rendah, iaitu 10 peratus.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata negara itu akan mengenakan kadar tarif setara sebanyak 25 peratus ke atas import dari AS yang dianggarkan bernilai sehingga AS$155 bilion (RM690 bilion).
"Tindakan yang diambil oleh Rumah Putih memecahbelahkan, bukannya menyatukan.
"Jika Presiden Trump mahu membawa era keemasan baharu untuk Amerika Syarikat, langkah yang lebih baik adalah untuk bekerjasama dengan Kanada, bukan menghukum kami," katanya dalam satu sidang media.
Rumah Putih menyatakan yang tarif itu dikenakan sebagai tindak balas terhadap tiga negara yang didakwa membenarkan dadah terlarang memasuki AS.
|