Seorang anggota penyelamat ‘White Helmets’ Syria memeriksa sebuah kereta yang musnah di lokasi serangan udara gabungan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan seorang pemimpin kumpulan Al-Qaeda Syria, Hurras al-Din, di sebuah lebuh raya berhampiran perkampungan Batabo di barat laut Syria.- Foto AFP
BEIRUT: Sebuah badan pemantau konflik Syria melaporkan 10 pejuang pro-Turkiye terbunuh pada Sabtu dalam pertempuran dengan pasukan pimpinan Kurdish di utara Syria, manakala sembilan orang maut dalam kes letupan bom kereta.
Menurut Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia, 10 anggota kumpulan pro-Ankara terkorban dalam pertempuran dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin puak Kurdish dan disokong Amerika Syarikat (AS).
SDF melancarkan serangan di selatan dan timur bandar Manbij, kawasan yang telah menyaksikan keganasan selama beberapa minggu.
Badan pemantau yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan bahawa sembilan orang, termasuk sejumlah pejuang pro-Turkiye, terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup berhampiran kedudukan tentera di bandar Manbij.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab melakukan letupan tersebut.
Kumpulan penyelamat Syria, White Helmets, melaporkan bahawa 'empat orang awam termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh' dalam letupan bom kereta itu, selepas jumlah awal tiga kematian dikemas kini.
Sembilan orang awam lain turut cedera, dan letupan tersebut merosakkan kedai serta bangunan di sekitar lokasi pengeboman.
Pada Sabtu, SDF mengeluarkan kenyataan bahawa pejuangnya telah menyasarkan beberapa kedudukan kumpulan pro-Turkiye di kawasan Manbij sehari sebelumnya.
Dengan sokongan AS, SDF menjadi peneraju dalam kempen ketenteraan yang berjaya mengusir kumpulan jihad IS dari wilayah terakhir mereka di Syria pada 2019.
Namun, Turkiye, penyokong utama pemberontak yang menentang rejim Bashar al-Assad di Syria, menuduh komponen utama SDF, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), bersekutu dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dianggap sebagai kumpulan pengganas.
Turkiye dan AS mengisytiharkan PKK, yang telah melancarkan pemberontakan selama puluhan tahun di Turkiye, sebagai kumpulan 'pengganas'.
Kumpulan yang disokong Turkiye melancarkan serangan terhadap SDF pada November lalu, merampas beberapa kawasan yang dikuasai Kurdish di utara Syria meskipun terdapat usaha AS untuk merundingkan gencatan senjata.
Kerajaan baharu Syria pula meminta SDF meletakkan senjata mereka sambil menolak sebarang tuntutan untuk pemerintahan sendiri oleh puak Kurdish. - AFP
|