Sebuah peluru berpandu dilancarkan dalam ujian peluru berpandu jelajah strategik, menurut media rasmi KCNA, di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara. - Foto REUTERS
SEOUL: Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu berpandu strategik laut ke darat, lapor agensi berita KCNA hari ini, dengan menyebut ujian persenjataan kena 'tepat' pada sasarannya.
"Keupayaan pencegahan perang angkatan bersenjata Korea Utara sedang disempurnakan dengan lebih menyeluruh," kata pemimpin negara itu, Kim Jong-un, sewaktu menyaksikan ujian terbabit semalam, menurut laporan KCNA.
Peluru berpandu berkenaan sampai tepat kepada sasaran selepas mengorbit sejauh 1,500 kilometer (km) dan dilaporkan tidak mengakibatkan 'kesan negatif terhadap keselamatan negara-negara jiran'.
KCNA bagaimanapun tidak menyatakan lokasi ujian itu dilakukan.
Ujian senjata oleh Pyongyang ini adalah yang pertama sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Isnin lalu.
Sebelum itu, Korea Utara sudah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat darat ke laut dan laut ke darat.
Trump, yang pernah mengadakan siri pertemuan dengan Jong-un semasa penggal pertamanya, dalam satu temu bual yang disiarkan pada Khamis lalu, mendakwa beliau akan cuba menghubunginya sekali lagi, malah menyebut pemimpin Korea Utara itu sebagai seorang yang 'bijak'.
Kedua-dua Korea ketika ini secara teknikal berada dalam keadaan perang sejak konflik 1950 hingga 1953, yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.
Hubungan antara Pyongyang dan Seoul berada pada tahap terendah sejak beberapa tahun ini, dengan Korea Utara melancarkan pelbagai peluru berpandu balistik tahun lalu, yang melanggar beberapa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hari ini, KCNA menyiarkan kenyataan dari kementerian luar Korea Utara yang mengkritik Washington dan Seoul kerana menjalankan latihan ketenteraan bersama sejak beberapa hari kebelakangan ini.
"Kenyataan ini menegaskan bahawa Korea Utara perlu menghadapi AS dengan tindakan balas paling tegas dari A hingga Z selagi ia terus mengabaikan kedaulatan dan kepentingan keselamatan Korea Utara," menurut kenyataan itu. - AFP
|