Orang ramai melaungkan slogan mengecam pembunuhan dan kes rogol yang dilakukan oleh seorang sukarelawan polis di Kolkata hari ini. - AFP
KOLKATA: Seorang sukarelawan polis dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah India hari ini, selepas didapati bersalah atas kesalahan merogol dan membunuh seorang doktor pelatih di hospital tempat mangsa bekerja di Kolkata, timur negara itu.
Tuntutan pihak pendakwaan supaya hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh, Sanjay Roy, ditolak dengan alasan jenayah itu bukan tergolong dalam kategori jenayah luar biasa.
Mayat mangsa ditemui dalam sebuah bilik kuliah Kolej Perubatan dan Hospital R G Kar yang dikendalikan Kerajaan India pada 9 Ogos tahun lalu.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang awam, berhubung isu keselamatan wanita dan golongan doktor turut melancarkan mogok kerja selama beberapa minggu menuntut keadilan terhadap mangsa serta menuntut tahap keselamatan ditingkatkan di hospital awam.
Sanjay Roy, sukarelawan polis yang didapati bersalah oleh Hakim, Anirban Das, pada Sabtu lalu, didakwa melakukan jenayah itu berdasarkan bukti yang dikemukakan.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, Roy menafikan dakwaan itu dengan mendakwa dirinya diperangkap dan memohon pengampunan.
Polis yang menjalankan siasatan terhadap kes itu mengklasifikasikan jenayah terbabit sebagai kategori "jarang berlaku" dan pendakwa memohon hukuman mati terhadap Roy.
"Hukuman penjara seumur hidup, bermaksud dipenjarakan sehingga mati," katanya.
Hakim ketika membuat keputusan, berkata kes berkenaan bukanlah kes "paling jarang berlaku" selepas mempertimbangkan semua bukti dan keadaan yang berkaitan.
Beliau menambah, Roy boleh memfailkan rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.
Hukuman itu diumumkan di dalam sebuah bilik mahkamah yang penuh sesak selepas hakim orang awam dibenarkan menyaksikan prosiding yang berlangsung.
Perbicaraan di mahkamah terbabit pada awalnya tidak dibuka kepada orang awam.- REUTERS
|