KENDERAAN perisai tentera Israel diletakkan di sempadan Israel-Gaza menjelang bermulanya gencatan senjata. FOTO Reuters.
Baitulmaqdis: Tentera Israel (IDF) memberi amaran kepada penduduk Gaza agar tidak mendekati tenteranya atau membuat sebarang pergerakan ke arah zon penampan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa, hari ini.
"Kami menggesa anda untuk tidak menuju ke zon penampan atau pasukan IDF demi keselamatan anda," kata jurucakap tentera Avichay Adraee di Telegram.
Katanya, ketika ini sebarang pergerakan termasuk dari selatan ke utara Gaza adalah berisiko.
"Pada peringkat ini, menuju ke zon penampan atau bergerak dari selatan ke utara melalui Lembah Gaza adalah meletakkan anda dalam risiko. Sesiapa yang menuju ke kawasan ini membahayakan diri mereka sendiri," katanya.
Pada 6.30 pagi waktu Gaza (12.30 tengah hari waktu Malaysia) gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza bermula membabitkan tiga peringkat dengan peringkat pertama akan berlangsung selama enam minggu.
Ia menyaksikan 33 daripada baki 98 tebusan wanita, kanak-kanak, lelaki lebih 50 tahun, yang sakit dan cedera, akan dibebaskan sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 banduan dan tahanan Palestin.
|