Bangunan runtuh di Gaza Utara, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas. - Foto REUTERS
DOHA: Kumpulan perunding dijangka mengadakan pertemuan di Doha hari ini, bagi memuktamadkan butiran pelan menamatkan peperangan di Gaza.
Pertemuan itu dikatakan susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan disokong beliau itu, hampir direalisasikan.
Pegawai yang maklum mengenai rundingan itu berkata, pihak perantara sudah memberi draf akhir perjanjian itu kepada Israel dan Hamas semalam, selepas 'kejayaan' perbincangan dihadiri utusan Biden dan Donald Trump, pada tengah malam.
Beliau yang enggan dikenali berkata, teks bagi gencatan senjata dan pembebasan tebusan sudah dibentangkan Qatar kepada kedua-dua pihak dalam rundingan di Doha, yang turut membabitkan ketua agensi perisikan Mossad dan Shin Bet Israel serta Perdana Menteri Qatar.
Katanya, utusan Asia Barat bagi Trump, Steve Witkoff dan utusan Biden, Brett McGurk, dijangka sekali lagi hadir pada rundingan di Doha hari ini, bersama perunding Hamas untuk perbincangan pantas dalam usaha mencapai perjanjian segera.
Jika perjanjian gencatan senjata berjaya, ia akan menamatkan siri rundingan yang berlarutan lebih setahun.
Ia sekali gus membawa kepada pembebasan tahanan Israel terbesar sejak tempoh awal konflik, ketika Hamas membebaskan hampir separuh tawanan mereka sebagai pertukaran bagi 240 tebusan Palestin yang ditahan Israel.
Pegawai kedua-dua pihak dan AS sudah melaporkan kemajuan, selain Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata kedua-dua pihak 'lebih dekat berbanding sebelumnya' untuk memeterai perjanjian dan kini menunggu keputusan pihak Hamas.
Hamas menyatakan kesediaan untuk mencapai kesepakatan.
Sementara itu, Trump menerusi ucapan mengenai dasar luar semalam, berkata perjanjian itu akan membebaskan tebusan, menghentikan pertempuran, memberikan keselamatan kepada Israel dan membolehkan bantuan kemanusiaan ditingkatkan secara signifikan kepada rakyat Palestin yang menderita teruk akibat peperangan.
Pegawai Israel pula berkata, rundingan pembebasan sehingga 33 tebusan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu kini di tahap maju, manakala pihak berkuasa Israel memaklumkan, seramai 98 tebusan masih berada di Gaza.
Delegasi Hamas di Doha menerusi kenyataan selepas pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, semalam, berkata rundingan berjalan dengan baik.
Bercakap pada sesi taklimat mengenai perjanjian itu kepada media, pegawai Israel berkata, seramai 33 tebusan, termasuk kanak-kanak, wanita, tentera wanita dan lelaki berusia lebih 50 tahun serta yang cedera dan sakit akan dibebaskan pada peringkat pertama.
Pada hari ke-16 selepas perjanjian berkuat kuasa, rundingan peringkat kedua akan dimulakan, membabitkan pembebasan baki tebusan termasuk tentera lelaki serta belia lelaki, selain mayat tebusan yang maut akan dikembalikan.
Ia bakal menyaksikan penarikan semula tentera secara berperingkat dengan rejim Zionis kekal di perimeter sempadan untuk mempertahankan bandar dan kampung di sempadan Israel.
Selain itu, akan ada aturan keselamatan di koridor Philadelphi, di sepanjang pinggir selatan Gaza, dengan Israel menarik diri daripada beberapa bahagian selepas beberapa hari pertama perjanjian itu dilaksanakan.
Penduduk Gaza Utara yang tidak bersenjata akan dibenarkan kembali bagi memastikan tiada senjata dibawa ke sana. Tentera Israel akan menarik diri dari koridor Netzarim di pusat bandar Gaza.
Pejuang Palestin disabitkan kesalahan pembunuhan atau serangan maut juga akan dibebaskan, tetapi jumlahnya bergantung kepada bilangan tebusan masih hidup yang angkanya masih tidak diketahui.
Kelompok berkenaan tidak termasuk pejuang terbabit dalam serangan ke atas Israel, pada 7 Oktober 2023.
Saluran 12 Israel pula melaporkan institusi kerajaan Tel Aviv sudah dimaklumkan supaya bersedia menerima tebusan lemah dan sakit. - REUTERS
|