Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP.
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Kita akan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, yang kedengaran sangat indah," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, hari ini.
"Nama itu sangat cantik. Dan sesuai. Sangat sesuai."
Nama Teluk Mexico yang terletak di pantai selatan Amerika Syarikat dan pantai timur Mexico itu digunakan sejak abad ke-16.
Sebarang perubahan nama akan memerlukan rundingan diplomatik dengan Mexico dan mungkin juga Cuba, memandangkan hujung negara kepulauan itu juga berada dalam teluk itu.
Trump sebelum ini mencadangkan nama gunung tertinggi di Amerika Utara, Denali, dikembalikan kepada nama asalnya, Gunung McKinley.
Gunung itu secara rasmi dinamakan semula sebagai Denali semasa pentadbiran pendahulu pertama Trump, Barack Obama daripada Demokrat, atas permintaan negeri Alaska selepas bertahun-tahun pertikaian berhubung sensitiviti budaya.
Trump dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden buat penggal kedua pada 20 Januari ini.
Dalam isu lain, Trump tidak menolak kemungkinan menggunakan tentera untuk menguasai Terusan Panama atau Greenland.
Apabila ditanya oleh seorang wartawan sama ada beliau boleh memberi jaminan kepada dunia bahawa beliau tidak akan menggunakan kuasa tentera atau ekonomi, Trump menjawab: "Tidak."
Wakil Republikan itu, yang akan kembali ke Rumah Putih, berkata pada sidang akhbar di Mar-a-Lago, Florida: "Saya tidak akan memberi komitmen kepada perkara itu sekarang."
Trump sebelum ini menyifatkan waktu transit di Terusan Panama sebagai sangat tidak adil dan menyeru agar pengurusan laluan itu dikembalikan kepada AS sekiranya ia tidak dilayan secara adil.
Terusan itu, yang menjadi antara laluan perdagangan paling penting di dunia, dibina oleh AS pada awal abad ke-20 sebelum pengurusannya secara beransur-ansur diserahkan kepada Panama.
"Terusan Panama adalah penting untuk negara kita. Ia kini dikendalikan oleh China," keluh Trump.
Trump juga menyatakan minat terhadap Greenland, sebuah pulau Artik yang luas milik Denmark, beberapa kali.
Anak Trump, Donald Trump Junior, kini sedang mengadakan lawatan peribadi ke Greenland.
Mengenai pertemuan dengan Presiden Russia Vladimir Putin, katanya beliau bercadang untuk membincangkan usaha menamatkan perang Russia di Ukraine. Pertemuan itu mungkin akan berlangsung selepas majlis angkat sumpahnya.
Apabila ditanya mengenai tarikh perbincangan itu, beliau enggan memberikan tarikh tertentu tetapi menyatakan, "Saya tahu Putin ingin bertemu."
Trump turut menyuarakan harapan agar perang itu berakhir dalam tempoh enam bulan.
"Saya harap jauh lebih awal daripada enam bulan," tambahnya.
Semasa kempennya, Trump sering memuji hubungannya dengan Putin dan mendakwa beliau mampu menamatkan perang di Ukraine "dalam masa 24 jam," tanpa pernah mendedahkan butiran dakwaan itu.
Ukraine kini bertahan terhadap pencerobohan besar-besaran Russia dengan bantuan Barat selama hampir tiga tahun.
Kyiv bimbang apabila Trump mengambil alih jawatan, bantuan AS akan dikurangkan secara mendadak.
Dalam ucapan Tahun Baharunya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky membuat rayuan kepada Washington agar tidak memotong bantuan kepada Ukraine.
Menurut Trump, negara NATO sepatutnya membelanjakan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan, meningkat daripada sasaran semasa sebanyak dua peratus.
"Mereka semua mampu, tetapi mereka sepatutnya membelanjakan pada kadar lima peratus, bukan dua peratus.
"Saya yang membuat mereka bayar 2 peratus," katanya.
Trump sering mengkritik NATO, mendakwa banyak negara Eropah mengambil kesempatan dan tidak membayar sumbangan yang sewajarnya, sebaliknya bergantung pada pembayar cukai AS.
Pada perhimpunan kempen tahun lalu, Trump berkata, beliau akan "menggalakkan" Russia "melakukan apa saja yang mereka mahu" terhadap negara NATO yang tidak memberikan peruntukan sewajarnya untuk pertahanan.
|