KENDERAAN memandu dalam kabus. FOTO AFP.
New Delhi: Perkhidmatan penerbangan dan kereta api di utara India mengalami gangguan pada Jumaat akibat cuaca buruk, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pegawai melaporkan puluhan penerbangan di New Delhi dan negeri utara lain ditangguhkan kerana kabus tebal yang menyebabkan jarak penglihatan yang rendah di ibu negara.
Delhi International Airport Ltd yang mengendalikan lapangan terbang itu menyatakan pada pagi Jumaat bahawa walaupun pelepasan dan pendaratan diteruskan, penerbangan yang tidak dilengkapi dengan sistem navigasi CAT III mungkin terjejas.
Kemudahan CAT III membolehkan pesawat beroperasi dalam keadaan penglihatan rendah.
"Penumpang diminta untuk menghubungi syarikat penerbangan yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat penerbangan yang dikemas kini," menurut kenyataan itu.
Menurut laporan Press Trust of India, lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Lapangan Terbang Delhi pada pagi Jumaat kerana cuaca.
Seorang pegawai dari Chandigarh, sebuah bandar di utara India memaklumkan kepada AA bahawa beberapa penerbangan ditangguhkan kerana keadaan cuaca buruk.
Jabatan Cuaca India melaporkan bahawa jarak penglihatan di stesen Palam, Delhi, jatuh kepada sifar meter pada pagi Jumaat.
Dalam ramalan pada Khamis, jabatan itu meramalkan bahawa kabus tebal dan cuaca sejuk akan berterusan di beberapa bahagian di barat laut dan tengah India dalam tempoh 24 jam akan datang.
Selain itu, pegawai Indian Railways di New Delhi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lebih 50 kereta api ditangguhkan kerana cuaca berkabus pada Jumaat.
Disiarkan pada: Januari 3, 2025
|