Edited by sfhzuraz at 21-5-2025 03:56 AM
Punca banjir kilat sekitar Alor Setar akan ditangani
ROSLINDA HASHIM
20 Mei 2025 06:25pm

Abdul Gafar (tengah) bersama wakil agensi terlibat meninjau kawasan terjejas banjir kilat di Jalan Putra.
ALOR SETAR – Sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik serta saliran tersumbat akibat longgokan sampah-sarap dalam longkang antara punca utama berlakunya banjir kilat sekitar bandar raya Alor Setar.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini termasuk struktur longkang yang rendah, sistem saliran lama serta masalah aliran air ke sungai berdekatan.
Menurutnya, kesemua permasalahan tersebut telah dikenal pasti dan akan diambil tindakan sewajarnya.
Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan yang tinggi minggu ini yang memberi impak besar terhadap beberapa kawasan termasuk limpahan air hujan di Jalan Sultanah Sambungan (hadapan Taman Wira), Jalan Putra dan Persiaran Sultan Abdul Hamid,” katanya di sini pada Selasa.
]
Kawasan sekitar Jalan Putra sering dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat berterusan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke sekitar Jalan Putra bagi meninjau sistem perparitan susulan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan.
“Lawatan ini adalah susulan mesyuarat infrastruktur Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang berlangsung pada Isnin, bertujuan mengenal pasti punca sebenar banjir kilat yang menjejaskan banyak kawasan kediaman dan laluan utama.
MBAS telah mengenal pasti lebih 28 kawasan perumahan yang sering terjejas akibat banjir, termasuk Taman Berjaya, Taman Selamat, Taman Bersatu, Taman Wira Blok C, Bee Bee Park, Jalan Teluk Wanjah dan Persimpangan Masjid Aman,” ujarnya.
Abdul Gafar berkata, tinjauan ke tapak yang terjejas banjir kilat itu turut disertai beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Kita telah mengumpul maklumat bagi kawasan-kawasan terjejas dalam tempoh dua hari lalu dan menyelaras tindakan bersama agensi bertanggungjawab seperti SWCorp Kedah dan E-Idaman Sdn Bhd untuk kerja-kerja pembersihan longkang,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja pembersihan turut dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) dan THB Maintenance Sdn Bhd di kawasan pinggir jalan manakala longkang di bawah selenggaraan JKR dibantu MBAS bagi membaiki struktur yang pecah serta runtuh.
Kerja-kerja pembersihan giat dijalankan sejurus air banjir surut.
“Beberapa struktur parit yang runtuh telah dikenal pasti dan MBAS akan memohon peruntukan segera bagi membaik pulih kerosakan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Gafar berharap penduduk Bandaraya Alor Setar dapat bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dan tidak menjadikan parit atau longkang sebagai tempat pembuangan sampah.
“Kita semua bertanggungjawab memastikan saliran sentiasa bersih demi mengelakkan bencana yang lebih buruk pada masa akan datang,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/729574/edisi/utara/punca-banjir-kilat-sekitar-alor-setar-akan-ditangani
|