51.3 tan produk ikan sejuk beku ada DNA babi, ayam disita
Oleh Nur Izzati Mohamad - Mei 20, 2025 @ 6:41pm

Penguat kuasa MAQIS Pulau Pinang memeriksa produk ikan sejuk beku yang mengandungi DNA babi dan ayam di NBCT. - Foto ihsan MAQIS Pulau Pinang
BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita 51.3 tan produk ikan sejuk beku mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dan ayam dari China.
Ia hasil pemeriksaan dilakukan di Teminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini selepas MAQIS mengesan dokumen import dagangan mengandungi maklumat mengelirukan.
MADIS melalui kenyataan berkata, barangan diisytiharkan sebagai 'frozen cuttlefish intestines' berbentuk sosej sejuk beku, 'frozen cuttlefish balls' dan 'frozen cuttlefish tofu'.
"Namun analisis DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan produk itu mengandungi DNA babi dan ayam di mana ia bercanggah deklarasi asal dalam dokumen import," katanya.
Susulan itu dagangan bernilai lebih RM63,000 disita untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 2011 kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan.
"Pengimport telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan akan dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan diperuntukkan di bawah akta sama," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1398311/513-tan-produk-ikan-sejuk-beku-ada-dna-babi-ayam-disita
|