KUCHING: Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Kelab Belia 1828 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Layar, Kelab Belia Perkasa Layar dan laman Facebook Betong Excess melancarkan misi bantuan kebakaran Rumah Lintong, Nanga Kesit di Lubok Antu, semalam.
Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Cecelia Tini Ajah berkata, ia merupakan platform untuk orang ramai di khususnya di Betong untuk bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban 47 penghuni yang terjejas dalam kebakaran rumah panjang 15 pintu tersebut.
"Misi ini kita lancarkan sebagai salah satu platform untuk masyarakat di Betong ini khususnya yang ingin menyalurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa kebakaran di Rumah Lintong, Nanga Kesit.
"Dalam masa sama, ia juga bagi memupuk semangat dan sikap keprihatinan dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia di Betong terhadap mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Kelab Beliawanis Betong berkata, sesiapa berminat untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk fizikal boleh berbuat demikian di Pusat Khidmat N.36 Layar bermula 20 sehingga 23 Mei ini, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
"Besar harapan kami agar misi ini mendapat sambutan daripada orang ramai di Betong ini. Selain dalam bentuk fizikal, bantuan dalam bentuk kewangan juga amat dialu-alukan melalui nombor akaun Agrobank 1007591000020908 di atas nama Kelab Beliawanis Betong," ujarnya.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Shazilla di talian 014-580 2806 dan dan Maxwell (011-5965 7579).
Manakala resit pembayaran bantuan tunai boleh dihantar terus kepada Florina dengan menghubungi 011-31227698 atau Lyourazo di talian 013-577 5956.
|