Edited by sfhzuraz at 20-5-2025 02:38 AM
Kemuka bukti saintifik wujud fosil purba di Gua Cenderawasih - MPK
ROSLINDA HASHIM
19 Mei 2025 05:20pm

Cadangan membina sebuah kafe di Gua Cenderawasih mendapat bantahan beberapa NGO yang bimbang ia akan jejaskan warisan geologi berusia ratusan juta tahun.
KANGAR – Kontroversi berhubung pembinaan sebuah kafe di kawasan Gua Cenderawasih, Bukit Lagi, terus diperkatakan.
Terbaharu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) meminta pihak yang mendakwa kewujudan fosil purba di lokasi tersebut mengemukakan bukti saintifik yang kukuh.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat teknikal atau dokumen rasmi yang menyokong dakwaan bahawa gua tersebut menyimpan fosil berusia jutaan tahun atau memiliki formasi batu kapur bernilai tinggi dari segi geologi.
“Jika benar ada fosil seperti didakwa di media sosial, pihak terbabit perlu tampil dengan bukti konkrit. Kita tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan andaian atau pandangan umum,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.
Menurutnya, semua kerja pembangunan telah dihentikan sejak 30 April lalu bagi memberi ruang kepada penilaian semula berdasarkan data saintifik dan pandangan pakar.
“Kita tunggu keputusan dan maklum balas daripada agensi pakar serta arahan muktamad daripada kerajaan negeri sebelum mengambil langkah seterusnya,” katanya lagi.
Pada Ahad, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau pengoperasian kafe di Gua Cenderawasih.
Menurut prosedur, sebarang pembangunan perlu dirujuk kepada JMG oleh PBT sebagai agensi teknikal di bawah Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) bagi sebarang pembangunan fasiliti di tapak warisan geologi.
JMG dalam satu kenyataan menjelaskan, pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah mematuhi Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya Sekitar Bukit Batu Kapur bagi memastikan keselamatan orang awam.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kafe tersebut yang dikhuatiri boleh menjejaskan khazanah geologi dan alam semula jadi di kawasan gua berkenaan.
Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers), Mohd Aizat Zahid berkata, pihaknya bersama beberapa NGO lain bimbang sebarang pembangunan di kawasan sensitif seperti gua batu kapur tanpa kajian menyeluruh atau berpandukan prinsip pemeliharaan alam semula jadi akan menjejaskan warisan geologi berusia ratusan juta tahun.
Ini kerana, katanya, Gua Cenderawasih merupakan sebahagian daripada Formasi Setul yang berusia kira-kira 480 juta tahun dan telah dikenal pasti sebagai salah satu geotapak utama di bawah Geopark Perlis.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, isu berkenaan akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu ini.
“Kerajaan negeri akan perhalusi isu tersebut secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk agensi teknikal dan pakar geologi,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa dan menegaskan bahawa isu tersebut perlu dibincangkan secara teliti agar pembangunan dan pemeliharaan khazanah alam dapat dilaksanakan secara seimbang.
Setakat ini, kerajaan negeri Perlis kekal dengan pendirian untuk menangguhkan pembinaan kafe di Gua Cenderawasih bagi meneliti secara terperinci garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan pemeliharaan geotapak.
Pendekatan ini diambil bagi memastikan sebarang pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut adalah mesra alam dan tidak menjejaskan nilai geologi serta struktur asal gua berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/729344/edisi/utara/kemuka-bukti-saintifik-wujud-fosil-purba-di-gua-cenderawasih---mpk
|