Mohd Jafni. FOTO OMAR AHMAD
Iskandar Puteri: Kerajaan negeri Johor memperkasa agenda penyediaan perumahan mampu milik khusus kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar menerusi dua inisiatif utama iaitu Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ).
Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek RPJ yang bermula tahun ini menjadi projek perintis dibangunkan khusus kepada golongan B40 yang tidak tersenarai dalam e-Kasih, tetapi memerlukan kediaman sendiri.
Menurutnya, menerusi program itu, rumah berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air ditawarkan pada harga RM86,000 seunit dengan subsidi berjumlah RM30,000 akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Peserta hanya perlu membayar RM56,000 bagi unit berkenaan, dan pembinaan dijalankan atas tanah milik sendiri dalam tempoh enam bulan. Ini adalah usaha holistik untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah walaupun tidak termasuk dalam kategori miskin tegar.
"Sebagai permulaan, sebuah projek perintis akan dilaksanakan melibatkan 20 unit RPJ masing-masing 10 unit di Kulai dan Kluang. Ia juga terbuka kepada generasi kedua Felda yang mempunyai tapak rumah, tetapi tidak mempunyai modal membina rumah.
"Dulu masa bina RPJ, kita berhadapan dengan isu pemilikan tanah mesti nama pemohon, tetapi sekarang kerajaan telah melonggarkan syarat itu rumah ibu bapa, adik-beradik yang ada akuan sumpah... kita akan benarkan juga.
"Antara syarat kelayakan permohonan RPJ, pemohon sudah berkahwin dan warganegara Malaysia berstatus Bumiputera bersama pasangannya, serta berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Beliau ketika menjawab pertanyaan Muszaide Makmor (BN-Sedili) dan Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) berhubung usaha kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan kepada golongan B40 luar bandar.
Keutamaan juga diberi kepada pasangan yang tidak memiliki rumah dan mempunyai tanah sendiri, tetapi belum pernah menerima bantuan pembinaan rumah daripada mana-mana agensi lain.
Menurut Mohd Jafni (BN-Bukit Permai), Johor turut memperuntukkan RM67 juta bagi membina 500 buah rumah secara percuma di bawah pelaksanaan inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ) bermula 2022 hingga 2026.
Katanya, RKJ menawarkan bantuan pembinaan rumah secara percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.
"Setakat ini, kita sudah siap bina dan serah 50 unit rumah kepada penerima pada 2023, manakala 71 unit lagi akan siap menjelang bulan depan dan 49 unit lagi akan siap pada Disember ini.
"Program ini menekankan prinsip kesejahteraan rakyat dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dari segi tempat tinggal," katanya.
|