BINTULU: Junior Chamber International (JCI) kini membuka 10 pencalonan individu bagi menyertai Anugerah 10 Anak Muda Cemerlang Malaysia (TOYM) 2025 anjuran JCI Malaysia dan JCI Miri.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (BCCCI) Bintulu Kong Chiong Ung pada sidang media hari ini berkata, anugerah ini nanti secara amnya akan menghimpunkan bakat muda termasuk wakil media dan pemimpin komuniti bagi bersama-sama meraikan semangat belia dan menghargai sumbangan mereka kepada masyarakat.
"Anugerah TOYM bukan hanya sekadar meraikan bakat semata-mata, malah mencerminkan nilai masyarakat dan kematangan sesebuah negara," katanya.
Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan dan galakan kepada semua individu muda yang berusaha gigih mengejar impian mereka.
"Saya memetik kata-kata seorang cendekiawan terkenal Cina, Liang Qichao yang mengatakan bahawa belia adalah tulang belakang negara dan nadi zaman yang mana sekiranya sesebuah negara mempunyai angkatan belia yang kuat, negara itu juga bakal menjadi negara yang hebat dan kuat," ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan betapa pentingnya menghormati serta mendengar suara generasi muda yang merupakan golongan pelapis pemimpin masa depan.
Terdahulu pengerusi penganjur TOYM JCI 2025 Candy Yong menyatakan matlamat mereka adalah untuk menerima sekurang-kurangnya 200 pencalonan dari seluruh Malaysia.
Beliau menyeru semua pihak awam, organisasi dan syarikat korporat menghantar pencalonan dan membantu memberi pendedahan kepada usaha menginspirasikan belia Malaysia.
Tarikh tutup pencalonan adalah pada 30 Jun depan.
Bagi kawasan Bintulu, mereka yang berminat menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai JCI Jalan Tanjung Kidurong boleh menghubungi Presiden Tempatan 2025 Tiong Kung Lin di talian 014-9969562 atau Setiausaha Tempatan 2025 Logan Toh Ting Jing di talian 012-8090539.
|