Henry (kiri) dan Karim (kanan) bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Bau 2025, semalam.
KUCHING:Bau bakal menjadi bandar transit utama sempadan Sarawak-Kalimantan selepas projek menaik taraf jalan ke Serikin kepada jalan dua hala (dual carriageway) dilaksanakan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Maritim dan Sungai), Datuk Henry Harry Jinep juga menambah jalan dua hala tersebut akan menghubungkan terus dari Bau ke Serikin di bawah perancangan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kehadiran ramai pengunjung dari Kalimantan di Pesta Tasik Biru membuktikan potensi besar hubungan dua hala melalui laluan ini, sekaligus membuka peluang besar kepada sektor pelancongan, perdagangan, dan ekonomi tempatan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Sukan Bau 2025 semalam, yang disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Henry yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru menambah Bau juga akan menjadi bandar persinggahan atau ‘transit town’ yang strategik pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, Serikin juga akan menjadi pintu masuk penting dari Indonesia ke Malaysia sebaik Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) siap kelak.
Sementara itu, Abdul Karim turut menambah bahawa kepentingan laluan itu, kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Sanggau Ledo—kawasan di Kalimantan yang padat dengan komuniti Bidayuh.
“Saya dimaklumkan laluan itu juga akan jadi jalan dua hala. Malah ia mungkin akan jadi lebih popular daripada Tebedu, kerana lokasi Biawak yang lebih dekat,”ujarnya kembali.
|