LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 1,428 paket minyak masak bersaiz satu kilogram dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, pagi tadi.
Semua minyak masa berkenaan dirampas menerusi satu operasi berimpak tinggi Zon Maritim Lahad Datu di perairan Tanjung Batu, di sini, kira-kira jam 6 pagi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, rampasan itu adalah hasil risikan dan maklumat yang diterima.
Katanya, sebelum itu, bot ronda Maritim mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan 0.2 batu nautika dari selatan Tanjung Batu.
“Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa, bot terbabit bertindak melarikan diri ke arah daratan sebelum suspek bertindak nekad terjun ke laut dan meloloskan diri.
“Pemeriksaan ke atas bot itu menemukan sebanyak 84 kotak minyak masak paket satu kilogram yang disorokkan dalam beg plastik hitam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua barang rampasan termasuk bot dibawa ke Jeti Pos Maritim FELDA Sahabat untuk tindakan lanjut.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot berkenaan mencecah RM10,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di 016-9305727 atau talian kecemasan 999,” katanya.
|