Sanglang: "Sebelum keluar memukat, dia ada berpesan supaya menjaga dan tengokkan anaknya tetapi tidak sangka ia pesanan terakhir," kata nelayan, Maszelan Othman, 46.
Adik bongsunya, Muhamad Faiez, 28, maut akibat dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang dari memukat udang di sekitar perairan Perlis berhampiran pesisiran pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat semalam.
Menurutnya, setiap kali 'turun' ke laut, adiknya akan meninggalkan pesan dan kali ini riak wajahnya berlainan dari biasa.
"Riak wajahnya agak muram semasa menyampaikan pesanan berkenaan. Entahlah, saya pun tidak pasti apa sebenar yang bermain di fikirannya ketika itu tetapi dia tetap ke laut seperti kebiasaan untuk memukat udang bersama rakannya.
"Muhamad Faiez seorang yang ceria, suka bergurau dengan ahli keluarga dan rakannya. Jarang dia hendak menunjukkan riak wajah sedih di hadapan kami sekeluarga," katanya yang ditemui selepas pengebumian adiknya itu di Taman Perkuburan Islam Simpang Sanglang, di sini hari ini.
Sementara itu, rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian, Ibrahim Hasri, 23 berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan kejadian berlaku sekitar jam 9 malam.
"Kami keluar memukat dari Jeti LKIM Kuala Sanglang sekitar jam 7 malam, cuaca baik dan tiada tanda hujan.
"Kami keluar ramai cuma dalam bot hanya ada saya dengan arwah sahaja dan sekitar jam 9 malam hujan melanda dan kami putuskan untuk pulang.
"Dalam perjalanan pulang, petir tiba-tiba menyambar bot kami dan saya nampak ia melintasi telinga saya. Muhamad Faiez yang berdiri atas bot ini tiba-tiba rebah dan tidak bergerak," katanya.
Ibrahim berkata dia kemudian memeriksa nadi rakannya itu dan dia meminta bantuan rakan nelayan lain sebelum memaklumkan kepada abang mangsa.
Mangsa disahkan mengalami pendarahan di telinga sebelah kiri serta melecur di bahagian paha sebelah kanan dan meninggalkan seorang balu berusia 24 tahun dan tiga anak lelaki berusia antara enam bulan hingga enam tahun.
Jenazah dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Simpang Sanglang.