SARIKEI: Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei yang baharu ini dengan ketinggian 12 tingkat dan dibina dengan kos sebanyak RM147,250,000.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pusat itu akan menempatkan kira-kira 500 penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak.
"Penempatan jabatan-jabatan ini di bawah satu bumbung akan membolehkan perkhidmatan utama dapat disampaikan kepada orang awam dengan lebih mudah, cepat dan efisien.
"Pembinaan pusat pentadbiran baharu ini bukan sahaja menjadi mercu tanda kemajuan bagi Sarikei malah berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan pesat bahagian ini.
"Pusat Service Sarawak dan Kaunter Kerajaan Sarawak yang terletak di aras bawah pusat ini merupakan pusat perkhidmatan berteraskan perkhidmatan digital yang berteraskan konsep 'Whole-of-Government'," kata Mohamad Abu Bakar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-alunnya pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei, hari ini.
Menurut Mohamad Abu Bakar, orang awam yang datang ke sini boleh berurusan dan mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran bil dan cukai, permohonan lesen dan permit, semakan dan kemas kini status permohonan kerajaan, pendaftaran perniagaan kecil dan usahawan tempatan, permohonan bantuan kebajikan dan sosial serta khidmat nasihat dan maklumat agensi kerajaan.
Tambahnya, pendekatan bersepadu ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan sumber, malah ia juga memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, selaras dengan konsep 'One Stop Customer Centric Service Delivery' yang menekankan kecekapan dan kemudahan untuk rakyat.
"Pusat ini akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan inklusif di bahagian Sarikei, seiring dengan aspirasi kita untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang efisien, mampan dan berimpak tinggi.
"Kerajaan Sarawak telah meluluskan 46 projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu di seluruh Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang melibatkan kos kira-kira RM1.2 bilion.
"Daripada 46 projek tersebut, lima projek merupakan pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bersepadu (IAC) di peringkat bahagian dan setakat ini, 16 projek bangunan pentadbiran baharu telah siap dibina di pelbagai daerah dan daerah kecil dan ini termasuk IAC Sarikei," kata Mohamad Abu Bakar lagi.
Majlis perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Timbalannya iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii.
|