KUCHING: Berkonsepkan 'glamping', Konsert Gawai-Kaamatan bakal menjadi tarikan utama atur cara Rumah Terbuka Gawai Sarawak Tourism Federation (STF) 2025 yang dijadual pada 7 Julai akan datang.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata, program yang akan berlangsung di Rumah Veriland, Engkeranji di Betong itu kini memasuki edisi ketiga tahun ini.
"Program adalah anjuran Sarawak Tourism Federation (STF) telah memilih bahagian Betong sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka serta Konsert Gawai-Keamatan selain perarakan kontinjen Gawai Dayak.
"Ia bakal bermula seawal jam 5 petang hingga 12 tengah malam dengan program adalah kolaboratif di antara STF dengan kerjasama Pejabat Residen Betong serta mendapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak," kata Rentap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu berkata demikian pada sidang media mengenai penganjuran Rumah Terbuka serta Konsert Gawai-Keamatan 2025 STF yang diadakan di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya hari ini.
"Penganjur turut menyediakan banyak atur cara menarik sepanjang program berlangsung termasuk pameran budaya dan tradisi kaum Dayak.
"Sehubungan itu, kami amat berterima kasih kepada STF kerana untuk kesekian kalinya memilih bahagian Betong sebagai lokasi penganjuran rumah terbuka serta perarakan Gawai Dayak dan dengan kerjasama utuh Jawatankuasa Pelancongan Bahagian Betong menjadikan sambutan kali ini lebih meriah dan pasti menggamit kehadiran pelawat dalam dan luar negeri," katanya.
Tambah Rentap, pihaknya menjangkakan tarikan utama penganjuran rumah terbuka itu ialah pengenalan konsep 'glamping', iaitu pengunjung akan merasai suasana berpesta dalam sebuah khemah terbuka dan moden yang pasti memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.
"Inisiatif itu adalah antara inti pati dalam mempromosikan bidang pelancongan di luar bandar berkonsepkan moden dan kami menyasarkan kehadiran lebih 3,000 peserta menyertai aktiviti perarakan Gawai Dayak 2025 yang dibahagi kepada beberapa kategori,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden STF Audrey Wan Ullok memberitahu bahawa sambutan Gawai Dayak yang dirai setiap tahun bukan sahaja melambang dan mempromosikan perpaduan kaum malah ia medan terbaik untuk merasai kemegahan hidup dalam komuniti Dayak yang kaya tradisi dan budaya warisan nenek moyang.
Katanya, STF cukup bangga apabila menjadi sebahagian daripada persatuan yang sangat komited dalam menjaga dan berkongsi kebudayaan masyarakat Dayak di negeri ini dengan pelancong bukan sahaja dari Malaysia malah pelawat asing.
Kali ini katanya, STF memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dijangka berupaya menarik kehadiran ramai pelawat luar untuk berkunjung ke Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 terutama dengan pengenalan konsep 'glamping' tersebut.
"Sehubungan itu, Konsert Khas Gawai-Keamatan yang menghimpunkan pelbagai budaya dan tradisi kaum Dayak dan Kadazan-Dusun pasti memeriahkan program kali ini dan kami optimistik ia petanda perpaduan antara dua wilayah berjiran Sabah dan Sarawak yang kaya budaya dan tradisi masyarakat peribumi Borneo," ujar Audrey.
Sepanjang tempoh penganjuran Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 itu katanya, orang ramai akan dihiburkan dengan himpunan tarian kebudayaan, persembahan alat muzik tradisional, makanan tradisi, pameran kraf tangan dan banyak lagi aktiviti yang bercirikan masyarakat Borneo.
"Justeru, saya berharap program kali ini membawa banyak manfaat kepada semua terutama dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong luar menyelami keunikan yang terdapat di Sarawak yang masih banyak belum diterokai sepenuhnya," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dipelawa berkunjung ke lokasi Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 ini untuk merasai sendiri keunikan perjalanan majlis dengan penawaran beberapa pakej pelancongan antaranya pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) Gawai di Head-Hunter Hearthland; 3H2M Gawai 'Glamping', 3H2M Gawai Harvest Festive serta 6H5M Festival Gawai Sarawak.
Orang ramai boleh mengunjungi laman web sarawak.travel/2025-openhouse/ untuk maklumat lanjut program.
|