BAU: Orang ramai dinasihati agar merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan jalan sempena acara Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 dan Perasmian Tasik Biru Resort City yang akan bermula esok hingga Ahad ini.
Penutupan melibatkan persimpangan masuk ke kawasan Hypermarket LePapa Bau dan Jalan Tasik Biru Resort City bermula pada 6.00 pagi esok dan akan dibuka semula selepas tamatnya acara penutup.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengunjung sepanjang acara berlangsung.
“Orang awam yang menggunakan laluan melalui kawasan Hypermarket LePapa Bau ke Jalan Tasik Biru dinasihati agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan bagi mengelakkan kesesakan dan gangguan kepada aliran trafik,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di talian 082-763311.
|