KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan mengalu-alukan kerjasama agensi, industri dan rakan serantau dalam memperkasakan sektor kreatif di negeri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Snowdan Lawan berkata, untuk itu Sarawak perlu memperkukuh kerjasama merentas kementerian, agensi, industri, dan rakan serantau.
“Ekonomi kreatif tidak mengenal sempadan dan Sarawak mengalu-alukan kerjasama yang membawa kepelbagaian, inovasi dan nilai bersama.
“Kami berhasrat untuk meletakkan Sarawak sebagai hab inovasi kreatif dan budaya yang sedang meningkat naik di Asia Tenggara dan acara seperti Kre8tif! East 2025 membantu kita mengambil langkah nyata ke arah itu.
“Kami percaya industri kreatif bukan sekadar hiburan atau seni tetapi pemacu peluang ekonomi, kebanggaan budaya dan pembangunan bakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Krea8tif! East 2025: Empowering Tomorrow’s Creator, Today! yang disempurnakan Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Dato Sudarnoto Osman di sini, hari ini.
Snowdan berkata, malahan di Sarawak kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Industri Kreatif Sarawak (SCIC) yang berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan rasmi kementerian.
Katanya ia juga menyatukan hala tuju dasar, penglibatan ekosistem dan perancangan strategik untuk memupuk serta mengembangkan ekonomi kreatif negeri ini.
“Melalui platform ini, kita memastikan sektor kreatif diselaraskan dengan pelan pembangunan menyeluruh Sarawak, khususnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata di bawah kementerian, mereka juga berbangga memimpin usaha untuk menyepadukan kreativiti, budaya dan inovasi dalam model pertumbuhan Sarawak.
Katanya di bawah PCDS 2030 juga, kementerian meletakkan sektor kreatif sebagai enjin kepada transformasi digital dan kepelbagaian ekonomi.
“Namun yang lebih penting, kami melihat diri kami sebagai pemudah cara, menyokong usahawan kreatif, penggiat industry dan perniagaan untuk membina dan mengembangkan potensi mereka,” tegasnya.
Berhubung SDEC, beliau berkata mereka telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi digital dan kreatif di Sarawak.
Tambahnya melalui inisiatif seperti hab inovasi digital, program pemecut dan Makeramai Makerspace, SDEC menyediakan platform sebenar untuk pencipta kandungan, usahawan digital dan pakar teknologi berkembang dan berjaya di seluruh negeri.
“Usaha bersama ini dipandu oleh misi bersama antara kementerian dan SDEC dan ia untuk membuka sepenuhnya potensi bakat kreatif Sarawak sekali gus meletakkan Sarawak sebagai kuasa digital dan budaya yang sedang meningkat naik di rantau ini.
|