ANGGOTA PPM memeriksa lori tangki yang cuba menyeleweng diesel bersubsidi. FOTO Ihsan PPM Wilayah 5.
Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, merampas 16,000 liter diesel bersubsidi dari sebuah lori tangki di sini, 5 Mei lalu, menerusi Op Taring Landai.
Pemangku Komander PPM Wilayah 5, Superintendan Rusdin Banin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit atau surat kebenaran bertulis daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung penyimpanan atau pemilikan barang kawalan.
"Tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan (diesel dan lori tangki) dianggarkan berjumlah RM 257,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rusdin berkata, jika sabit kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Sek 21) pesalah boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
|