CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 47|Reply: 0

[Kedah] Imam muda diugut santau, dituduh bazir wang masjid

[Copy link]
Post time 12-5-2025 12:56 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 12-5-2025 12:57 AM

Imam muda diugut santau, dituduh bazir wang masjid

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
11 Mei 2025 04:00pm




Masjid Jamek Simpang 4 Sedaka Yan Kedah yang dikatakan berusia 70 tahun semakin uzur dan mengalami banyak kerosakan. Muhamad Nasir (kanan).



YAN – Belum reda isu pengerusi masjid difitnah menyeleweng, timbul pula satu lagi isu membabitkan seorang lagi pengerusi masjid di sini yang didakwa diugut santau jika tidak melepaskan jawatan.

Muhamad Nasir Ahmad, yang merupakan imam dan Pengerusi Masjid Jamek Simpang 4 Sedaka, mendakwa telah menerima ugutan santau dan dituduh membazir wang masjid menerusi sepucuk surat layang yang ditinggalkan dalam raga motosikalnya.


Beliau yang dilantik menjadi imam ketika berusia 30 tahun pada 2023 menjelaskan, keadaan masjid yang uzur serta tidak lagi selamat mendorong beliau merancang pembaharuan demi keselesaan dan keselamatan anak kariah.

Menurutnya, setelah mendapat persetujuan ahli jawatankuasa dan mengambil kira pandangan serta perbincangan beberapa pihak, masjid berusia 70 tahun itu akan dinaik taraf melalui pelaksanaan pembangunan semula fasa satu dengan kos RM2.5 juta.



]
Tandas yang dibina di bahagian luar dikatakan membazir sedangkan kemudahan itu disediakan untuk musafir atau orang luar yang singgah seketika.


"Baru-baru ini saya dikejutkan dengan satu surat layang yang disyaki bertujuan mendesak saya meletakkan jawatan, dan jika saya tidak mengendahkannya, saya akan disantau!

"Selain memaki hamun dalam tulisan itu, individu terbabit turut menuduh saya tidak layak memegang jawatan imam kerana masih muda... dan menuduh saya membazir wang masjid apabila menambah bilangan tandas di bahagian luar serta menjalankan kerja-kerja naik taraf ini," jelasnya.

Menurut Muhamad Nasir, keadaan struktur masjid yang uzur serta bumbung yang bocor hingga membasahi jemaah ketika solat menjadikan kerja-kerja naik taraf amat mendesak.


"Berlaku kebocoran yang sangat teruk di ruang utama solat lelaki dan perempuan... pernah satu ketika ketika solat dalam keadaan ribut dan hujan lebat, serpihan siling jatuh. Nasib baik tidak menimpa jemaah yang sedang solat. Rangka utama bumbung masjid juga sudah uzur dan tunggu masa untuk runtuh," katanya.

Jelasnya, tuduhan membazir adalah tidak berasas kerana kerja-kerja penambahbaikan tersebut merupakan keperluan yang amat mendesak.

"Kalau dikatakan saya membazir dan mengambil duit masjid, itu tidak logik kerana ketika saya dilantik, jumlah dalam tabung masjid hanya RM2,000. Kini, hasil kutipan yang kami lakukan hampir setiap masa telah mencecah RM400,000.

"Masih banyak yang diperlukan, dan kami amat memerlukan sokongan daripada insan dermawan seluruh Malaysia bagi memastikan pembangunan masjid ini berjalan lancar," katanya.

Menurut beliau, beberapa perancangan telah dibuat termasuk penambahbaikan terhadap ruang solat, tempat wuduk, tandas, serta penyediaan laluan kerusi roda dan lain-lain kemudahan.

Walaupun menerima rintangan dan halangan daripada pihak yang tidak berpuas hati, beliau berjanji akan terus berkhidmat selagi diizinkan, atas dasar amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Katanya, pendedahan ini dibuat bagi menjadi penguat semangat serta menjelaskan situasi sebenar kepada masyarakat mengenai keperluan pembangunan semula masjid berkenaan.

Dalam masa sama, beliau memohon semua pihak menyokong usaha ke arah kebaikan bagi memastikan anak kariah dan orang ramai yang singgah ke masjid mendapat manfaat sebaiknya.

Muhamad Nasir turut merayu orang ramai untuk turut menyumbang bagi mencukupkan kos pembinaan masjid berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor 02084010669225 atas nama Masjid Jamek Simpang 4 Sedaka Yan, Kedah.

https://www.sinarharian.com.my/article/727874/edisi/utara/imam-muda-diugut-santau-dituduh-bazir-wang-masjid


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-5-2025 02:33 PM GMT+8 , Processed in 0.043099 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list