JBPM Pulau Pinang terima dua panggilan gegaran bangunan susulan gempa bumi
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mei 11, 2025 @ 7:15pm

Foto hiasan
GEORGETOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima dua panggilan kecemasan gegaran bangunan di daerah Timur Laut, di sini, hari ini.
Panggilan kecemasan itu diterima susulan gempa bumi sederhana yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata panggilan diterima pihaknya pada jam 5.17 petang.
Katanya, ia membabitkan Taman Selatan, Jelutong dengan tindakan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.
"Lokasi kedua ialah di Hotel City Bayview, Georgetown dengan tindakan oleh pasukan dari BBP Lebuh Pantai.
"Panggilan diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang membabitkan gegaran bangunan di dua lokasi.
"Pemantauan dilakukan di lokasi dan semua berada dalam keadaan selamat dan tiada berlaku kerosakan struktur," katanya.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan berhubung gempa bumi yang berlaku jam 4.57 petang.
Berlaku di perairan utara Sumatera pada kedalaman 74 kilometer, tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia.
Sementara itu penduduk Taman Selatan, Nurulshida Naina Mohamad,39, berkata, ketika kejadian dia mahu tidurkan anak bongsunya.
"Tiba-tiba saya rasa gegaran dan berasa pening kepala sebelum bergegas turun dari rumah di tingkat tiga ke aras bawah perumahan.
"Sebaik tiba di tempat berkumpul, saya lihat ramai penduduk yang berpusu-pusu turun dari perumahan kami sebelum hubungi pihak bomba," katanya ketika dihubungi, di sini.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1394824/jbpm-pulau-pinang-terima-dua-panggilan-gegaran-bangunan-susulan-gempa
|