
Abang Johari (tengah) bersama Awang Tengah (kiri) diiringi wakil Airbus sempena lawatan ke Kampus Airbus dan Ibu pejabat ATR di Toulouse, Perancis pada Isnin. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengorak langkah ke hadapan dalam usaha membangunkan industri aeroangkasa negeri itu menerusi kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan terkemuka dunia, Airbus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil lawatan rasmi ke ibu pejabat Airbus telah membuka ruang kepada enam bidang utama yang dipersetujui untuk diteroka bersama ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di rantau Asia Pasifik.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata antara bidang tersebut termasuk penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dengan Sarawak kini giat menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan SAF seiring matlamat global mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
"Perkara kedua ialah pembangunan modal insan dalam industri aeroangkasa dengan kerjasama antara Airbus dan institusi tempatan seperti ICATS akan diperluas bagi membangunkan program latihan serta silibus berkaitan aeroangkasa.
"Inisiatif ini bakal membuka peluang kepada pelajar Sarawak menjalani latihan industri bertaraf antarabangsa," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampus Airbus dan Ibu pejabat ATR di Toulouse, Perancis yang merupakan pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia pada Isnin.
Dalam sidang media sama, Premier Sarawak menambah, perkara ketiga yang dipersetujui ialah pembangunan ekosistem industri sokongan.
Jelas beliau, Sarawak juga akan meneroka potensi pembuatan bahan komposit dan kulit sintetik berasaskan gas untuk kegunaan industri penerbangan, selain teknologi avionik serta instrumentasi berkaitan cip pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
"Perkara keempat pula ialah pendigitalan perjalanan dan perkhidmatan penerbangan dengan konsep 'digital journey' akan diperkenalkan.
"Ini bagi menyepadukan urusan perjalanan daripada tempahan tiket penerbangan, penggunaan sistem pengangkutan ART, hinggalah ke penginapan dalam satu pakej digital yang lancar," jelasnya lagi.
Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, perkara kelima yang dipersetujui ialah penubuhan Pasukan Bersama Sarawak–Airbus bagi merangka pelan hala tuju pembangunan industri aeroangkasa Sarawak, melibatkan kepakaran daripada kedua-dua pihak.
"Satu pasukan akan dibentuk dari pihak kita, manakala Airbus turut akan membentuk pasukan sendiri. Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan gabungan tenaga kepakaran dalam industri melalui kerjasama dan perbincangan yang komprehensif antara pakar-pakar yang terlibat.
"Usaha ini dijangka dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan industri penerbangan, sekali gus membuka peluang baru bagi kemajuan sektor ini di peringkat antarabangsa," jelasnya.
Perkara keenam pula kata beliau ialah melibatkan pembangunan Aerotropolis dalam usaha memperkukuh pembangunan industri penerbangan di negeri itu.
"Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan kawasan seluas 100 ekar sebagai tapak Aerotropolis sebuah hab bersepadu di mana semua bangunan yang dibina saling berkaitan, menjadikannya lebih efisien dan menyokong ekosistem industri penerbangan," katanya.
Terdahulu Premier Sarawak bersama delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat ATR yang merupakan pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia di Perancis.
Beliau bersama delegasi kemudian menghadiri perbincangan jaringan profesional di Airspace Customer Showroom, Agoahub yang dihoskan oleh Presiden Airbus International, Wouter van Wersch sebelum diteruskan dengan sesi lawatan menyeluruh ke ruang pameran pelanggan Airbus
Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
|