
Kapal tersebut diperiksa oleh pasukan operasi.
KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan bekalan minyak diesel dalam satu operasi di Batang Igan, Sibu pada 30 April lalu.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, ACP AB Rahman Mat Hasan (gambar) berkata, operasi yang dikenali sebagai Op Taring Pensura itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari bot ronda PSC 12.
Menurutnya, pasukan operasi bertindak melakukan pemeriksaan selepas mengesyaki berlaku kegiatan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kapal tunda (Tugboat) yang berlabuh di sebuah jeti persendirian tersebut mendapati berlaku aktiviti pemindahan diesel ke sebuah lori tanker.
“Siasatan awal juga mendapati pemandu lori dan krew kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tersebut dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan operasi bertindak merampas sebuah kapal tugboat, sebuah lori tanker untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas kira-kira 45,000 liter minyak diesel dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9.3 juta,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, krew kapal turut melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk di bawah Sarawak River Ordinance 1993 (SRO) kerana gagal menempatkan juragan yang berkelayakan serta gagal mengemukakan River Transport Permit (RTP) ketika diperiksa.
Lori yang membawa muatan minyak diesel.
“Mereka juga disiasat di bawah Merchant Shipping Ordinance 1960 (MSO) kerana tiada Chief Engine Driver semasa operasi.
“Kita telah menyerahkan kes di bawah SRO kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, manakala kes MSO diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut,” jelasnya lagi.
AB Rahman turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah penyeludupan bahan kawalan ini.
|