
Vesel tunda dan tongkang yang beroperasi secara haram berjaya ditahan Maritim Malaysia tengah hari semalam. Gambar Maritim Malaysia
MIRI: Cubaan sebuah vesel tunda dan tongkang untuk menjalankan operasi secara haram di perairan Kuala Baram gagal apabila dikesan dan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata ketika dikesan sekitar jam 12.30 tengah hari, kedua-dua vesel itu bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 3.2 batu nautika dari barat daya Kuala Baram sebelum dipintas pasukan peronda dalam operasi bersepadu Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa muatan yang tidak dibenarkan serta gagal mengemukakan sebarang dokumen pelesenan sah.
"Seramai lapan orang kru termasuk nakhoda ditahan yang terdiri daripada empat warga tempatan, dua warga Myanmar dan dua warga Indonesia, berumur antara 23 hingga 49 tahun," katanya dalam kenyataan satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Khairol menyatakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut mengancam keselamatan pelayaran di perairan negara.

Antara lapan kru yang ditahan bersama vesel tunda dan tongkang di kawasan perairan 3.2 batu nautika dari barat daya Kuala Baram semalam. -Gambar Maritim Malaysia
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan membawa muatan tidak sah serta gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri.
Tambahnya, Maritim Malaysia terus komited untuk mempergiat rondaan serta penguatkuasaan undang-undang maritim bagi membanteras kegiatan jenayah di laut.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian hotline Maritim Malaysia Zon Miri di 085-649111, Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 / 082-432016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Antara lapan kru yang ditahan bersama vesel tunda dan tongkang di kawasan perairan 3.2 batu nautika dari barat daya Kuala Baram semalam. -Gambar Maritim Malaysia.
https://www.utusanborneo.com.my/2025/05/06/maritim-gagalkan-cubaan-vesel-tunda-tongkang-jalankan-operasi-secara-haram-di-kuala-baram
|