
Arabella diapit Lulong Maskino Mas (kiri) dan Singgar Matahari Fravelien sejurus dinobatkan pada majlis tersebut Sabtu lalu.
BINTULU: Arabella Sunta Lankan telah dinobatkan sebagai Kumang Raban Pengelandik Jari (RPJ) pada Majlis Makan Malam Gawai RPJ Ke-9 di Dinner World Restaurant Bintulu pada malam Sabtu lalu.
Beliau menewaskan lapan peserta lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta mahkota, selempang, piala dan sejambak bunga.
Arabella juga merangkul dua gelaran sampingan iaitu Sepejalai Pemadu Manah dan Ngepan Pemadu Manah.
Gelaran Lulong (naib johan) pula disandang Maskino Mas Mapan yang menerima RM1,400, mahkota, selempang, piala dan sejambak bunga.
Sementara itu, gelaran Singgar Matahari (tempat ketiga) pula jatuh kepada Fravelien Radi yang merangkul RM1,300, mahkota, selempang, piala dan sejambak bunga. Dalam pada itu, gelaran sampingan Kumang Multimedia disandang Beatrizia Nana Zidi, Video Pengelandik Jari Pemadu Manah disandang Venessa Raymond dan Kumang Fotogenik pula Magdelena Meili.
Bagi menghargai sumbangan penggiat seni kraf tangan yang diusahakan ahlinya, RPJ turut menganugerahkan Julius Paul Joseph Lajo sebagai Tokoh RPJ 2025.
Pada majlis berkenaan, turut diadakan acara penyerahan hadiah kepada pemenang pertandingan membuat 'baju kuas' kaum Iban yang mana tempat pertama dimenangi Devyclay Pius yang mendapat hadiah wang tunai RM600, tempat kedua Victoria Jimmy yang mendapat RM500 manakala tempat ketiga Julia James yang menerima RM400, dan masing-masing merangkul piala.
Tuai Rumah RPJ Rickeers Tellian, Timbalan Presiden RPJ Sandine Bennidect, Tuai Gawai Meragan Nteri dan Tuai Pengabang Dr Jawing Chunggat antara yang hadir.
|