Kuasa' hiasan kepala kepada si pemakai sememangnya tidak boleh dinafikan.
Ia mempunyai pesona dan maksud tersendiri. Malah sehingga kini pemakaian hiasan kepala wanita seperti cucuk sanggul, sanggul lintang, cucuk sanggul jurai atau gandik tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Masih ada generasi muda yang mengumpul hiasan kepala tradisional ini sebagai satu hobi. Ada yang sanggup membeli hiasan kepala itu pada harga mencecah ribuan ribu ringgit untuk disimpan sebagai koleksi.
Bagi wanita berusia 33 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur ini, minat berputik menjadi pengumpul hiasan kepala tradisional bertitik tolak dari situasi dia aktif menjadi penari tradisional ketika menuntut di institut pengajian tinggi pada 2012.
Syazlina Ahmad Ridzuan berkata, ketika memakai aksesori tradisional bersama kostum, dia merasakan hiasan itu mempunyai aura keanggunan yang sukar ditafsirkan apabila bertakhta di atas kepala si pemakai.
"Ketika itu, saya sekadar suka-suka sahaja untuk memakainya, tetapi tiada niat lagi untuk memilikinya. Namun, pada 2018 saya mendapat aksesori tradisional warisan keluarga.
"Malah ketika itu, saya mendapat banyak sangat aksesori kepala warisan keluarga seperti cucuk sanggul dan beberapa sanggul lintang. Koleksi paling lama saya ada adalah dimiliki keluarga pada sekitar 1960-an," katanya.
Pemegang Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, bermula dari situ dari masa ke masa mengumpul pelbagai jenis hiasan kepala yang kini mencecah 1,000 unit.
Katanya, pengetahuan mengenai sanggul turut digali menerusi pembacaan secara dalam talian yang dikongsikan individu berpengalaman atau rakan-rakan yang mempunyai pengetahuan mengenai aksesori itu.
"Antaranya mengenai sanggul lintang yang biasanya dipakai pengantin sememangnya berat dan ia melambangkan tanggungjawab yang bakal dipikul pada masa depan dalam rumah tangga.
"Malah, cucuk sanggul juga sebenarnya bukan sekadar hiasan kepala semata-mata pada masa dahulu kerana ia boleh dijadikan senjata untuk mempertahankan diri bagi wanita," katanya.
Jelasnya, hiasan kepala antik yang dia miliki sehingga kini mencecah 100 unit terdiri daripada cucuk sanggul, sanggul lintang dan gandik. Paling lama ialah sanggul lintang milik bapa saudaranya sejak 1960-an.
"Saya kini mempunyai sanggul lintang tradisional kira-kira 13 unit. Manakala yang moden saya mempunyai kira-kira 70 unit yang disimpan rapi di butik pengantin saya.
"Gandik juga saya mempunyai koleksi tradisional dan moden. Malah saya juga mempunyai selendang lama yang diwariskan keluarga kepada saya. Sehingga kini masih disimpan rapi," katanya.
Katanya, pada hari ini aksesori kepala sudah banyak dimodenkan untuk memudahkan wanita memakainya terutama pada majlis perkahwinan dan ia lebih ringan berbanding tradisional.
"Sekarang ini, untuk cucuk sanggul misalnya didatangkan siap bersama cekak rambut. Jadi, ia hanya perlu disarungkan tanpa perlu dicucuk satu persatu di kepala si pemakai.
"Jadi, apabila seseorang itu ingin memakainya pada majlis perkahwinan misalnya tidak mengambil masa lama untuk bersiap. Malah materialnya tidak seberat tradisional menjadikan si pemakai lebih selesa," katanya.
Katanya, selain memiliki koleksi tradisional dan moden tempatan, dia juga mengimport hiasan kepala itu dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan China.
Ditanya mengenai keseronokan memiliki pelbagai aksesori kepala itu katanya, apabila hiasan kepala tradisional itu dipakai seorang wanita tidak kira dari jenisnya, secara automatik menaikkan seri si pemakai.
"Apabila pakaian tradisional terutama pada majlis perkahwinan yang disarungkan seorang wanita, ia kelihatan amat lengkap dengan aksesori tradisional yang lain seperti rantai dan dokoh.
"Saya boleh lihat apabila seorang wanita yang bersanding apabila hanya memakai baju tradisional bersama aksesori kepala tradisional, seri air muka mula kelihatan secara automatik dan si pemakai juga kelihatan gembira," katanya yang membuka butik pengantin pada 2022.
Jelasnya, aksesori kepala paling mahal dimilikinya adalah berharga RM1,500 iaitu sanggul lintang yang mempunyai pembuatan yang cukup teliti dihasilkan pembuatnya.
"Sebenarnya dari segi harga pembuatan perhiasan kepala tradisional dahulu kala tidak mahal kerana kebanyakannya dibuat daripada material sedia ada dan dibuat sendiri (DIY). Namun, harganya menjadi mahal kerana antik.
"Bagi perhiasan kepala yang tradisional yang dimodenkan pada hari ini lebih mahal kerana pembuat meletakkan batu yang mahal seperti di sanggul lintang seperti batu zircon untuk menyerlahkan lagi lambang kemewahan si pemakai," katanya.
Katanya, permintaan pemakaian aksesori itu sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada ramai wanita terutama untuk dipakai pada majlis persandingan.
"Ia adalah satu petanda amat baik kerana wanita hari ini semakin menghargai nilai aksesori tradisional yang diwariskan sejak dahulu. Malah aksesori ini sentiasa malar segar untuk disatukan dengan buasana tradisional," katanya. - HARIAN METRO
|