PASTI rata-rata warga maya sedia maklum dengan kes seorang pempengaruh wanita yang didakwa mengalami kecederaan gara-gara dicakar pada bahagian wajah.
Mungkin ramai menganggap ia hanya kecederaan kecil namun sebenarnya selain memberi kesan fizikal yang jelas, ia juga boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius jika tidak dirawat dengan betul.
"Kalau luka dicakar haiwan, kita takut rabbies. Tapi kalau luka di muka sebab dicakar manusia, apa pula bahayanya?
"Lebih daripada sekadar luka fizikal, ini boleh jadi kes berat," ujar seorang pakar perubatan, Dr Raihana Ismail.
Berikut adalah kesan atau komplikasi kesan cakaran kuku manusia sebagaimana perkongsian Dr Raihana:
1. Jangkitan kuman
- Kuku manusia penuh bakteria termasuk Staphylococcus aureus dan E-Coli. Bila luka terbuka, ia berisiko menyebabkan jangkitan kulit, bernanah atau lebih teruk, jangkitan darah atau sepsis.
2. Risiko penyakit berjangkit
- Kalau individu yang mencakar ada jangkitan Hepatitis B, Hepatitis C atau HIV, ada risiko kecil virus tersebar melalui luka terbuka.
3. Risiko parut kekal dan kecacatan wajah
- Luka di muka lebih mudah meninggalkan parut kerana kulit muka sangat halus dan banyak saluran darah.
- Luka dalam boleh menyebabkan pembentukan keloid atau parut hypertrophy.
Apa yang patut dibuat?
1. Cuci luka dengan segera menggunakan air bersih dan sabun lembut selama lima hingga 10 minit.
2. Elakkan sentuh luka dengan tangan kotor.
3. Sapu antiseptic contohnya Povidone Iodine
4. Segera berjumpa dengan doktor kerana mungkin memerlukan antibiotik oral, suntikan tetanus booster atau rawatan luka lanjut.
5. Dapatkan laporan perubatan kerana ia penting untuk tindakan lanjut. - mStar
|