Polis kenal pasti pemandu tunjuk isyarat lucah ketika memandu
Nur Izzati Mohamadam@hmetro.com.my

GAMBAR hiasan
Nibong Tebal: Polis sudah mengenalpasti pemandu kereta yang dirakam menunjukkan isyarat lucah ketika memandu di Kilometer (KM) 159 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini sehingga perbuatannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Jay January Siowou, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 21 saat sejak Isnin lalu.
"Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Persona yang dirakam dalam video itu didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan beralamat di Selangor.
"Individu yang dipercayai terlibat telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan aib dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang pemandu kereta memandu di lorong kanan yang menunjukkan isyarat lucah sehingga menerima kritikan daripada warganet.
Disiarkan pada: Mei 2, 2025 @ 4:14pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/05/1214206/polis-kenal-pasti-pemandu-tunjuk-isyarat-lucah-ketika-memandu
|