Hanya 35 projek bawah KKR dikategorikan projek sakit
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
02 Mei 2025 02:19pm

Alexander ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan HSJ pada Jumaat.
SEBERANG JAYA - Hanya 35 projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya telah dikategorikan sebagai projek sakit.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu hanya mewakili 2.8 peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), sekali gus menunjukkan majoriti projek berjalan lancar.
"Terdapat juga projek yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
"Minggu lalu, saya menyerahkan satu projek yang siap setahun lebih awal, 'Ahead of Time' (AOT)' bukan melalui lanjutan masa atau 'Extension of Time' (EOT),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan HSJ di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kementerian sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani isu projek sakit termasuk menubuhkan jawatankuasa pemantauan di peringkat kementerian.
“Walaupun terdapat beberapa projek yang mengalami kelewatan atau masalah, ia hanya melibatkan bilangan kecil dan lanjutan masa hanya diberikan atas alasan kukuh serta munasabah.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan prestasi serta tahap penyampaian projek infrastruktur,” ujarnya.
Blok tersebut menyaksikan bangunan baharu setinggi sembilan tingkat itu siap sepenuhnya pada 12 April lalu dan dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat mulai 5 Mei ini.
Ia menempatkan 316 katil, enam bilik pembedahan serta tujuh jenis wad pelbagai disiplin termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Rawatan Rapi Separuh (HDU).
Dengan siapnya bangunan baharu itu, Hospital Seberang Jaya kini mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 729 katil dan 11 bilik pembedahan, menjadikannya hospital rujukan utama di wilayah utara.
https://www.sinarharian.com.my/article/726272/berita/nasional/hanya-35-projek-bawah-kkr-dikategorikan-projek-sakit
|